Solihin meninggal dunia akibat serangan jantung
Bernama
September 25, 2020 19:13 MYT
September 25, 2020 19:13 MYT
Bekas pemain Terengganu City FC (TCFC), Mohamad Solihin Mahamad meninggal dunia di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) malam tadi akibat serangan jantung.
Abang ipar Allahyarham, Mohd Sayuzi Mansor berkata, Allahyarham Mohammad Solihin, 24, muntah sebelum rebah dan pengsan ketika beraksi dalam perlawanan persahabatan antara pasukannya, Gong Parit FC dan Tualang FC, di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Selasa lepas.
"Arwah menghembuskan nafas terakhir pada 7 petang semalam dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit Depu pukul 9 malam.
"Selama tiga hari dirawat di HSNZ, arwah tidak sedarkan diri sebelum menghembuskan nafas terakhir malam tadi dan disahkan akibat serangan jantung," katanya ketika dihubungi hari ini.
Mohd Sayuzi berkata, anak bongsu daripada lapan beradik dan masih bujang itu sebelum ini tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan.
Katanya, arwah adik iparnya itu pernah menyatakan hasrat untuk menyarung jersi pasukan Liga Perdana atau Liga Super Terengganu, memandangkan impiannya sejak kecil adalah untuk mewakili pasukan negeri kelahirannya itu.
"Arwah juga pernah menjalani sesi pemilihan dengan pasukan Terengganu FC II (TFC II) pada tahun lalu tetapi tidak terpilih menyertai pasukan tersebut. Pada tahun lalu juga, arwah mendapat tawaran bersama pasukan The Red Giant, namun tidak berminat untuk mewakili pasukan itu," katanya.
Katanya, Allahyarham Mohamad Solihin pernah membantu pasukan TCFC muncul juara Piala FAM 2018 dan pernah menyarung jersi pasukan Piala Presiden Negeri Sembilan pada 2017. - BERNAMA
#24 tahun
#Mohamad Solihin Mahamad
#pemain bola sepak
#rebah
#sakit jantung
#TCFC
#Terengganu City FC