Solidariti untuk Palestin: DAP bantah program pamer kekerasan senjata di sekolah

Astro Awani
Oktober 28, 2023 09:30 MYT
Anthony Loke berkata, DAP menentang sebarang bentuk keganasan dan membantah semua bentuk program yang mempamerkan unsur-unsur kekerasan bersenjata di semua sekolah. - Foto fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR : DAP terkilan dengan penganjuran satu program di sebuah sekolah rendah yang memaparkan unsur-unsur keganasan dan ekstremisme dengan penggunaan replika senjata.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, DAP menentang sebarang bentuk keganasan dan membantah semua bentuk program yang mempamerkan unsur-unsur kekerasan bersenjata di semua sekolah yang melibatkan murid-murid pada usia yang muda.
Jelasnya, program seumpama itu hanya akan memberikan mesej dan pengajaran yang salah kepada generasi muda.
"Justeru itu, DAP meggesa Kementerian Pendidikan Malaysia untuk mengambil tindakan tatatertib yang tegas terhadap pihak yang menganjurkan program tersebut dan menghalang sebarang program seumpama daripada berulang.
"Memandangkan insiden ini telah menimbulkan kebimbangan masyarakat, KPM seharusnya mempertimbangkan semula penganjuran program Minggu Solidariti Palestin di sekolah-sekolah dan menggunakan pendekatan yang lebih sesuai untuk menyampaikan mesej di kalangan murid-murid sekolah.
"Program di sekolah sepatutnya memupuk semangat cintakan keamanan sejagat dan menerapkan nilai-nilai kemanusiaan dalam membentuk sahsiah yang selari dengan prinsip-prinsip Madani.
"Hubungan dan pemahaman silang budaya serta perasaan hormat-menghormati sesama rakan-rakan sebaya daripada latar belakang berlainan juga harus dipupuk," katanya dalam satu kenyataan di Facebook pada Sabtu.
Oleh itu, DAP mengulangi pendirian untuk terus bersolidariti dengan rakyat Palestin di atas prinsip kemanusiaan dan sentiasa mendokong pendirian Kerajaan Malaysia untuk bersuara lantang di pentas dunia untuk perjuangan membebaskan Palestin dan mengembalikan hak dan wilayah mereka yang sepatutnya.
#Anthony Loke #DAP #Kementerian Pendidikan #Palestin
;