Solidariti UMNO tidak terjejas dengan taktik kotor pembangkang - PM Najib
Astro Awani
Disember 10, 2016 21:44 MYT
Disember 10, 2016 21:44 MYT
Kecemburuan pembangkang semakin jelas terhadap soladiriti jitu yang dipamerkan ahli dan pemimpin UMNO sepanjang Perhimpunan Agung UMNO pada minggu lepas.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerana itu tidak hairan pembangkang sentiasa menyebarkan khabar angin dengan tujuan meretakkan hubungan baiknya dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
"Mungkin mereka menganggap perwatakan beliau sama seperti bekas ahli parti yang mengutamakan agenda peribadi berbanding kepentingan parti dan negara.
"Mereka telah cuba sedaya-upaya untuk memecah-belahkan kita. Namun, mereka tidak memahami UMNO dan kesetiaan ahlinya yang tulen, iaitu mereka yang tetap berdiri teguh dengan parti dan kepimpinan yang dipilih secara demokratik tidak kira semasa susah atau senang," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Datuk Seri Najib mengulas barisan kabinet bayangan yang mula viral beberapa hari lalu itu menunjukkan nama Zahid sebagai Perdana Menteri diikuti Timbalan Perdana Menteri, Khairy Jamaluddin, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz sebagai Menteri Dalam Negeri.
Tegas Datuk Seri Najib, pembangkang kini sangat terdesak dan dalam keadaan kucar-kacir sehingga memaksa mereka untuk bersekutu dengan orang yang memenjarakan pemimpin mereka sendiri.
"Saya menyeru kepada semua ahli-ahli parti agar berwaspada dengan taktik kotor yang digunakan oleh musuh kita.
"Mereka iri hati akan solidariti jitu yang wujud dalam UMNO dan Barisan Nasional (BN)," jelasnya.