Solidariti Palestin: Benjamin Netanyahu pengganas perang, perlu dihadapkan ke ICC - Khairy

Fareez Azman
Oktober 20, 2023 19:13 MYT
Khairy menggesa supaya Palestin mempunyai negara berdaulat dan bermaruah, bukan proses 'two state solution' yang bohong selama ini. - Bernama
KUALA LUMPUR: Bekas Pemuda UMNO Malaysia, Khairy Jamaluddin menggesa Amerika Syarikat (AS) agar mengheret Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) atas jenayah perang yang dilakukan terhadap rakyat Palestin.
Jelasnya, Netanyahu adalah pengganas perang yang sebenar dan seharusnya dibawa ke muka pengadilan.
"Yang penting supaya orang seperti Benjamin Netanyahu dibawa ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa supaya boleh diadili sebagai seorang penjenayah dan pengganas perang," jelasnya.
Tegas Khairy, rakyat Palestin perlu mendapat hak negara mereka sendiri dan bukan melalui penyelesaian dua negara di bawah penjanjian Oslo yang disifatkan sebagai pembohongan semata-mata.
"Kita gesa supaya Palestin mempunyai negara berdaulat, bermaruah... bukan proses two state solution yang bohong selama ini. Ini pembohongan paling besar.
"Bantahan dan demonstrasi di Kuala Lumpur dan seluruh dunia bukan hanya (dalam kalangan) umat Islam malah umat di seluruh dunia yang cintakan keamanan dan ingin melihat rakyat Palestin tidak dizalimi lagi.
"Ini akan diteruskan setiap hari, setiap minggu sehingga beberapa perkara berlaku sepertimana kita desak," katanya lagi.
Serah memorandum
Terdahulu, Khairy bersama Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir menyerahkan memorandum bantahan kepada wakil Kedutaan AS pada Jumaat.
Menurut Mukhriz, memorandum itu bagi mendesak sekeras-kerasnya terhadap sokongan AS kepada Israel.
Tegasnya, sokongan AS terutama melibatkan bantuan senjata perlu dihentikan serta-merta.
"Kita telah hantar memorandum kepada AS untuk mendesak tarik balik sokongan mereka terhadap Israel.
"Sokongan itu bukan hanya sokongan moral, malah bekalan senjata yang digunakan untuk membunuh begitu ramai rakyat di Gaza.
"Kita membuktikan Palestin tidak dilupai oleh Malaysia. Hari ini ramai rakyat Malaysia berhimpun bersatu hati menyatakan bantahan keras kita kepada Israel Zionis dan AS," jelasnya.
Jelasnya, memorandum berkenaan turut menuntut agar jenayah perang dilakukan Israel dihentikan serta-merta, menghentikan laporan berat sebelah oleh media antarabangsa, menghentikan operasi ketenteraan di Gaza dan memberi bantuan kemanusiaan disalurkan kepada penduduk Palestin.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media dalam Demonstrasi Solidariti Palestin anjuran beberapa badan bukan kerajaan (NGO) berhampiran Kedutaan AS di ibu negara yang dihadiri lebih 500 orang pada Jumaat.
#Palestin #Khairy Jamaluddin #solidariti #Kedutaan AS
;