Solidariti Keamanan di Dataran Merdeka pagi ini

Bernama
Mac 22, 2019 05:28 MYT
Rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama dan ideologi politik berarak dari Sogo dan berhimpun di Dataran Merdeka hari ini bagi melahirkan satu suara kedamaian sejagat dan menolak amalan kebencian. -- fotoBERNAMA
Rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama dan ideologi politik akan berkumpul di Dataran Merdeka di sini pagi ini bagi melahirkan satu suara kedamaian sejagat dan menolak kebencian.
Perhimpunan Solidariti Keamanan yang dijadual dari 7 pagi hingga 11 pagi, susulan serangan dua masjid di Christchurch, New Zealand itu adalah untuk rakyat Malaysia bersandarkan konsep keamanan dan kedamaian tanpa mengira agama dan ideologi politik.
Menggunakan simbol burung merpati putih berlatar belakangkan bunga raya sebagai simbol kedamaian, perhimpunan itu akan bermula di hadapan pusat membeli-belah Sogo pada pukul 7 pagi, sebelum peserta, dengan pakaian berwarna putih, berarak ke Dataran Merdeka.
Perhimpunan anjuran Jabatan Perdana Menteri (Jabatan Hal Ehwal Agama Islam) dan Jawatankuasa Mempromosi Persefahaman dan Keharmonian Antara Penganut Agama (JKMPKA) dengan kerjasama Civil Society Organisation (CSO) itu dijangka disertai 50 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk persatuan agama seperti Sikh, Taoism, Buddha, Kristian, Hindu dan Islam.
BACA: Sekilas lalu kunjungan Mujahid ke New Zealand
Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata pihaknya menerima notis permohonan perhimpunan pada 8 Mac lepas dan polis mengeluarkan notis kebenaran bersyarat pada Khamis.
"Polis telah beri kebenaran (perhimpunan) kerana mereka mematuhi syarat-syarat perhimpunan termasuk tempoh waktu perhimpunan itu," katanya.
Antara pengisian perhimpuan itu ialah ucapan wakil-wakil agama, pelancaran Simbolik Solidariti Kedamaian dan Deklarasi Kedamaian KL 2019.
BACA: Perhimpunan aman solidariti kedamaian, tolak kebencian, Sabtu ini
Wakil keluarga Allahyarham Mohd Haziq Mohd Tarmizi, yang terbunuh dalam kejadian tembakan di dua masjid di Christchurch New Zealand, Jumaat lepas dan wakil Suruhanjaya Tinggi New Zealand di Malaysia juga dijadual berucap pada Perhimpunan Solidariti Keamanan itu.
"Pada suasana dunia hari ini yang menyaksikan peningkatan kebencian sesama manusia sehingga berlakunya banyak insiden keganasan termasuk yang terkini di New Zealand, sebagai rakyat Malaysia kita bukan sahaja mahu melahirkan rasa simpati tetapi kita mahu tunjuk lebih dari itu.
"Di Dataran Merdeka nanti, kita akan mendengar ucapan-ucapan yang membawa mesej kedamaian dan akhirnya kita akan membuat satu deklarasi yang membawa suara hati rakyat Malaysia yang menentang sebarang bentuk kebencian dan keganasan, sebaliknya mahukan kehidupan yang aman damai," kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa.
BACA: Jawatankuasa khas dibentuk bawa mesej perpaduan dan keamanan
Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam kenyataan pada Jumaat berkata Malaysia menolak sekeras-kerasnya kebencian dan menyeru semua pihak agar tidak memberi ruang kepada mana-mana pihak untuk menabur kebencian dan menghasut ke arah keganasan.
"Malaysia berdukacita dengan tragedi berdarah di Christchurch minggu lepas. Seluruh rakyat Malaysia bersedih dan berdukacita atas pemergian Allahyarham Mohd Haziq serta 50 orang lagi umat Islam yang syahid diserang pada 15 Mac 2019," katanya.
BACA: Serangan solat Jumaat: 'Wajah Haziq tersenyum'
-- BERNAMA
#Christchurch #Dataran Merdeka #keganasan #Kuala Lumpur #Mohamad Fuzi Harun #Mohd Haziq Mohd Tarmizi #Mujahid Yusof Rawa #New Zealand #perhimpunan #polis #serangan #Solidariti Keamanan #Solidariti Kedamaian #tembakan #tolak kebencian #Tragedi Solat Jumaat
;