Solidariti Gaza: Malaysia bantuan 818 pelajar Palestin, tanggung yuran pengajian di IPTA
Astro Awani
Disember 6, 2023 18:34 MYT
Disember 6, 2023 18:34 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju membantu 818 pelajar Palestin yang menuntut di Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta di negara ini.
Timbalan Menteri luar, Datuk Mohamad Alamin berkata, perkara itu adalah sebagai tanda solidariti dan bantuan berterusan Malaysia terhadap apa yang berlaku di Gaza.
Menurutnya, mana-mana pelajar yang menuntut di IPTA, kerajaan akan menanggung semua yuran mereka.
"Manakala bagi mereka yang menuntut di institusi swasta, IPTS bersetuju mengurangkan yuran melibatkan diskaun 10 hingga 100 peratus.
"Selain itu, setiap pelajar akan mendapat pembiayaan elaun sara hidup bulanan selama setahun di bawah Tabung Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP)," katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan Kementerian Luar di Dewan Negara pada Rabu.
Sementara itu, Persidangan Dewan Negara para Rabu sebulat suara meluluskan usul tergempar membantah dan mengutuk tindakan kejam rejim Zionis Israel yang mencetuskan pergolakan terkini di Palestin.
Usul yang dikemukakan Senator Hussin Ismail telah dibahaskan oleh 10 Ahli Dewan Negara.
Mohamad ketika menggulung perbahasan memuji sokongan padu, kesatuan dan solidariti seluruh Ahli Dewan Negara yang menzahirkan rasa dukacita terhadap nasib rakyat Palestin dan sebulat suara mendukung sebarang usaha dilakukan kerajaan dalam menghentikan segera kekejaman serta serangan Zionis ke atas bumi Gaza.
“Kerajaan sentiasa mendengar setiap cadangan yang dikemukakan ketika perbahasan dan bersikap terbuka dalam melaksanakan pandangan yang dilontarkan dengan matlamat akhir berusaha mengembalikan hak rakyat Palestin yang dirampas yang dinafikan rejim Zionis selama ini,” katanya.
Mohamad turut berkongsi mengenai penglibatan aktif Malaysia menyertai rundingan di peringkat antarabangsa seperti Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), ASEAN, Persidangan Kerjasama Ekonomi Asean Pasifik (APEC) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi menyuarakan pendirian tegas tentang perkara itu, selain berharap krisis kemanusiaan di Palestin dapat ditangani segera.