Solat hajat seluruh negara selepas solat Jumaat

Azyyati Ahmad
Mac 8, 2013 13:22 MYT
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Dato’ Haji Othman Mustapha meminta agar semua masjid di seluruh negara membuat solat hajat untuk perwira-perwira negara di Lahad Datu selepas sembahyang Jumaat hari ini.
Solat hajat selepas sembahyang Jumaat hari ini bagi agar Ops Daulat yang dilancarkan oleh anggota keselamatan diberi perlindungan dan keselamatan serta kemenangan.
Khutbah Jumaat yang dikeluarkan JAKIM hari ini juga membawa tajuk yang sama iaitu ‘Tanggungjawab Mempertahankan Negara’ yang antara lain menekankan agar kita bersama- sama berusaha dan bergandingbahu mempertahankan setiap inci tanah air dari dicerobohi mereka yang tidak bertanggungjawab.
Mengakhiri khutbah, Mimbar turut menyatakan kekesalan diatas pencerobohan yang berlaku di Sabah ketika ini sehingga menyebabkan pertumpahan darah dan kematian anggota keselamatan negara.
Sebelum itu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar pada satu sidang media di Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru pada petang Khamis bertitah agar solat hajat dibuat selepas sembahyang Jumaat hari ini dan setiap hari selepas solat Maghrib sehingga krisis pencerobohan itu selesai di seluruh masjid di negeri Johor.
#Dato Haji Othman Mustapha #Ketua Pengarah Jakim #solat hajat #Solat Jumaat
;