Solat Aidilfitri di masjid dan surau di Pulau Pinang dibuat secara penggiliran
Dewi Nur Harasha Alias
Mei 12, 2021 13:54 MYT
Mei 12, 2021 13:54 MYT
GEORGE TOWN: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) menetapkan solat sunat Hari Raya Aidilfitri di negeri itu pada esok hari dibuat secara pengggiliran susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara berkuat kuasa hari ini.
JHEAIPP dalam satu kenyataan memaklumkan, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pandangan pelbagai pihak dan perbincangan Bersama Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman, dan mufti, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd.
Menurut JHEAIPP, kehadiran Jemaah di masjid dan surau dibuat secara penggiliran dengan menetapkan tiga sesi.
Sesi pertama akan bermula dari jam 8.30 pagi hingga 9.15 pagi, diikuti sesi kedua, 9.45 pagi hingga 10.30 pagi dan seterusnya sesi ketiga jam 11 pagi hingga 11.45 pagi.
“Jemaah perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat sepertimana yang ditetapkan dalam Garis Panduan Terkini yang berkuat kuasa 12 Mei 2021.
“Imam yang ditentukan oleh pihak masjid atau surau hendaklah imam yang berlainan bagi setiap sesi solat” menurut kenyataan itu.
Menurut JHEAIPP, tempoh masa solat untuk setiap sesi adalah selama 45 minit.
Selang masa 30 minit sebelum bermulanya sesi solat seterusnya adalah bertujuan untuk membolehkan proses sanitasi tempat dilakukan dan sebagai persediaan jemaah untuk masuk saf solat sesi seterusnya.
“Jemaah juga diminta segera pulang tanpa ada perhimpunan di dalam atau luar kawasan masjid atau surau selepas selesai solat setiap sesi," menurut kenyataan itu lagi.
#PKP
#Aidilfitri
#perintah kawalan pergerakan
#Hari Raya Aidilfitri
#SOP
#hari raya
#solat sunat Aidil Fitri
#JHEAIPP