Sokongan terhadap Dr Mahathir meningkat, kata Merdeka Centre

Astro Awani
Julai 20, 2019 13:13 MYT
Kaji selidik yang dilakukan ke atas 961 responden itu menunjukkan sentimen pengundi Melayu dan Cina terhadap perdana menteri meningkat 16 mata kepada 50 peratus dan 77 peratus. - Gambar fail
Tahap sokongan terhadap Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad meningkat kepada 62 peratus pada Jun lalu berbanding 55 peratus pada Mei, kata badan kaji selidik Merdeka Centre.
Selain itu, kaji selidik yang dilakukan Merdeka Centre yang dipetik portal The Malaysian Insight itu juga menunjukkan ramai rakyat yakin Malaysia kini berada di landasan yang betul.
Keyakinan ini meningkat kepada 40 peratus berbanding kaji selidik yang dibuat badan itu empat bulan sebelumnya yang mana hanya 34 peratus yakin Malaysia berada di landasan yang betul.
Manakala kaji selidik Merdeka Centre pada Mac berhubung sokongan kepada Dr Mahathir berada pada tahap paling rendah dengan 46 peratus.
Kaji selidik yang dilakukan ke atas 961 responden itu menunjukkan sentimen pengundi Melayu dan Cina terhadap perdana menteri meningkat 16 mata kepada 50 peratus dan 77 peratus.
Namun terdapat penurunan kecil pada sokongan pengundi India daripada 80 peratus pada Mac kepada 74 peratus pada Jun.
Merdeka Centre menjalankan kaji selidik ini antara 28 Jun hingga 1 Julai lalu, yang mana hasil kajiannya mendapati sentimen pengundi Melayu terhadap perdana menteri dan kerajaan berlaku peningkatan.
Badan kaji selidik itu berpendapat peningkatan sentimen pengundi Melayu terhadap hala tuju negara yang meningkat kepada 31 peratus berbanding 24 peratus pada Mac kesan perancangan kerajaan yang lebih jelas.
Antara perancangan kerajaan yang lebih jelas ialah langkah menyelamatkan Felda dan Tabung Haji serta Bantuan Sara Hidup (BSH) untuk meringankan beban hidup rakyat.
Sentimen pengundi Cina meningkat kepada 53 peratus namun sentimen pengundi India mengenai hala tuju negara jatuh kepada 45 peratus berbanding 63 peratus pada Mac.
Namun persepsi umum terhadap Pakatan Harapan dikatakan jatuh setiap bulan dan populariti PH kekal pada tahap 41 peratus.
#Cina #hala tuju #India #Mahathir Mohamad #Malaysia #Melayu #meningkat #merdeka centre #sokongan
;