Sokongan psikososial penting kurangkan 'derita' mangsa banjir

Hafizi Rosli
Disember 24, 2022 04:30 MYT
Petugas MHPSS Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan kelihatan sedang melakukan aktiviti permainan bersama kanak-kanak di PPS di SK Gual To'Deh, Rantau Panjang. - Foto Astro AWANI
PASIR MAS: Bencana banjir bukan sahaja memberi impak kepada fizikal seseorang mangsa, namun aspek mental juga merupakan antara kesan yang membelenggu mereka tanpa disedari.
Ia menuntut sokongan berbentuk psikososial terutamanya bagi mangsa yang baharu sahaja menghadapi musibah besar kali ini.
Di Kelantan, agensi kerajaan seperti Jabatan Kesihatan Negeri menerusi Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial (MHPSS) antara yang terawal menawarkan perkhidmatan sokongan sebegini dengan mengambil inisiatif mendekati mangsa yang terkesan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
Jelas Ketua Penolong Pengarah Psikologi Kaunseling, Jabatan Kesihatan Kelantan, Asida Shafii, sokongan ini penting kerana kebanyakan mangsa masih trauma dengan apa yang berlaku kepada mereka.
"Rata-rata, mangsa yang terjejas masih trauma, sekiranya tidak diatasi ia boleh menjejaskan kesihatan mental mereka.
"Jadi, strategi kami adalah anjurkan aktiviti menarik bagi kanak-kanak, input membina untuk golongan remaja dan khidmat pengurusan tekanan bagi golongan dewasa," jelasnya.
Tambahnya, aspek sokongan ini penting untuk mereka bagi memastikan kerisauan dan trauma dapat diatasi dan menggalakkan mereka untuk sentiasa berfikiran terbuka.
Asida berkata, aktiviti sebegini juga dapat memberi pengisian terutama kepada mangsa di PPS supaya dapat menimba sesuatu yang baharu.
"Bagi kanak-kanak, walaupun mereka sukar mengekspresikan perasaan mereka, namun kami optimis trauma mereka akan berkurangan.
"Secara keseluruhan, kami dapat rasakan, kedatangan kami mendapat respon membina dan kami akan terus memberikan sokongan kepada mangsa-mangsa banjir ini," katanya.
MHPSS menurutnya akan menjelajah ke seluruh negeri Kelantan terutama daerah yang masih terkesan sebagai sokongan psikososial kepada mangsa supaya dapat meneruskan kehidupan dengan baik pasca banjir.
#banjir #Kelantan #psikososial #mangsa banjir
;