Sokongan padu rakyat terhadap kepimpinan BN penting demi keharmonian - Salleh

Bernama
Februari 13, 2017 07:34 MYT
DR SALLEH: Sokongan padu rakyat terhadap kerajaan BN pimpinan Datuk Seri Najib penting demi keharmonian dan pembangunan negara. - Gambar Astro AWANI / Shahir Omar
Sokongan padu rakyat terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak penting demi keharmonian dan pembangunan negara, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.
Beliau berkata BN telah terbukti mampu membawa pembangunan dan menyejahterakan rakyat.
Oleh itu, beliau mengingatkan rakyat supaya berhati-hati dengan pemimpin pembangkang yang menabur fitnah terhadap kerajaan BN kerana ketandusan modal politik.
"Rakyat di Sabah mesti bersatu padu menyokong perdana menteri dan juga Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman di peringkat kerajaan negeri.
"Ini kerana kerajaan BN (peringkat negeri dan pusat) sentiasa saling menghormati dan bekerjasama dalam mencari jalan penyelesaian kepada apa jua masalah berkaitan dengan pembangunan rakyat," katanya pada majlis bersama pemimpin masyarakat Kota Belud di sini, pada Isnin.
Majlis tersebut diadakan bersempena lawatan kerja ketua menteri di daerah ini pada Isnin.
Salleh berkata rakyat perlu mengamalkan konsep 'satu pemimpin' dengan memberi sokongan kepada pemimpin kerajaan, sama ada di peringkat persekutuan mahupun negeri, bagi memudahkan pembangunan dilaksanakan dengan berkesan.
"Jika kita hormat dan beri kerjasama kepada pemimpin kita, insya-Allah, kita semua akan selamat dalam mencapai kemajuan bersama," katanya.
-- BERNAMA
#BN #Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak #Datuk Seri Musa Aman #Datuk Seri Najib Tun Razak
;