Sokongan merosot kerana PH tidak beri rasuah - Tun Mahathir
Wan Syamsul Amly
Mei 8, 2019 20:00 MYT
Mei 8, 2019 20:00 MYT
Sokongan rakyat kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) kini diakui merosot kerana tiada pemberian wang yang dianggap rasuah seperti dibuat pentadbiran dahulu.
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, paling penting, kerajaan tidak memberi wang rasuah seperti kerajaan terdahulu semata-mata untuk mendapatkan sokongan.
"Memang kerajaan dahulu beri duit yang banyak kepada macam-macam golongan. Nelayan dapat gaji, kalau tidak tangkap ikan pun, dapat gaji RM300 sebulan. Orang bujang dapat RM450 sebulan. BR1M bagi duit lagi. Macam-macam orang dapat duit.
"Kalau kita hendak ambil benda yang macam itu, samalah kita juga korup macam itu. Hendak beli sokongan dengan memberi wang, itu rasuah.
"Kita tidak boleh buat macam itu dan kita tidak ada duit pun nak buat, pasal kita tidak curi duit. Kita tidak ada duit nak bagi," katanya pada sidang media khas satu tahun Malaysia Baharu di pejabatnya di sini.
Sebelum ini, Dr Mahathir mengakui terdapat kalangan rakyat termasuk penjawat awam yang mahu kerajaan pimpinan PH tidak diteruskan untuk penggal akan datang hanya kerana kelantangannya mengekang rasuah.
Malah katanya, terdapat pihak yang menganggap kerajaan PH tidak sebaik pentadbiran terdahulu hanya kerana menolak amalan tidak bermoral tersebut.
Ujarnya, semasa era pentadbiran beliau bersama Barisan Nasional (BN), amalan rasuah tidak begitu teruk sehingga kerajaan tidak dapat berfungsi dengan baik dan banyak perkara dapat dilaksanakan serta mendapat keyakinan rakyat.
Kerajaan PH dilaporkan berjaya mengurangkan rasuah sebanyak 90 peratus sejak mengambil alih tampuk pemerintahan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) Mei tahun lalu.
#Barisan Nasional
#gaji
#kerajaan
#Mahathir Mohamad
#nelayan
#Pakatan Harapan
#penjawat awam
#pilihan raya
#PRU14
#rakyat
#Rasuah