Sokongan masyarakat Cina diperlukan bangunkan Sandakan - Musa
Bernama
Mac 4, 2018 04:25 MYT
Mac 4, 2018 04:25 MYT
Sokongan masyarakat Cina diperlukan untuk sama-sama membangunkan daerah ini, kata Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman.
Katanya beliau sedar tugas itu tidak boleh dilakukannya secara bersendirian.
"Mesti ada kerjasama untuk kebaikan semua. Ini penting untuk kita bertukar idea dan pandangan untuk memajukan lagi negeri ini termasuk daerah ini.
"Sandakan dahulu pernah terkenal dengan 'Little Hong Kong ' dan kegemilangan itu kita transformasi pembangunan itu dalam aspek lain termasuk pelancongan yang menjadi satu daripada tiga aspek saya gariskan dalam Hala Tuju Pembangunan Sabah," katanya pada Majlis Ramah Mesra bersama Pemimpin- Pemimpin Cina di sini, pada Ahad.
Antara pemimpin yang hadir ialah Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Raymond Tan Shu Kiah dan Pengerusi Penyelaras Barisan Nasional (BN) Sandakan Datuk Chin Su Pin.
Musa berkata dalam aspek pelancongan, usaha kini dilakukan untuk menarik kehadiran pelancong khususnya dari China ke daerah di timur Sabah termasuk ke daerah ini.
Katanya antara usaha yang dilakukan oleh kerajaan untuk tujuan itu ialah meluluskan peruntukan memanjangkan landasan Lapangan Terbang Sandakan.
"Kerajaan sedar apa yang perlu dilakukan untuk rakyat dan dalam melaksanakan pembangunan tetapi pada masa sama kami juga mahu tahu pandangan dan idea rakyat," katanya.
Musa juga berkata kerajaan negeri dan persekutuan memberi perhatian kepada masyarakat Cina termasuk memberi bantuan kepada sekolah-sekolah Cina.
-- BERNAMA
#ekonomi
#Lapangan Terbang Sandakan
#masyarakat Cina
#Musa Aman
#pelancong
#Pelancong China
#pembangunan
#Sandakan
#Timur Sabah