Sokong usaha pupuk persefahaman bersama - Reezal Merican

Bernama
Disember 8, 2016 20:56 MYT
REEZAL: Malaysia menyokong sepenuhnya usaha di peringkat antarabangsa yang bertujuan meningkatkan lagi persefahaman budaya, tamadun dan agama. - Gambar fail
Malaysia menyokong sepenuhnya usaha di peringkat antarabangsa yang bertujuan untuk meningkatkan lagi persefahaman antara budaya, tamadun dan agama, termasuk kepercayaan dan amalan mazhab.
Timbalan Menteri Luar Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata masyarakat terus menyaksikan situasi kemanusiaan yang amat buruk, pencabulan hak asasi manusia dan tindakan ekstremisme di pelbagai pelusuk dunia.
"Dalam hubungan ini, Malaysia berpegang kuat kepada pendekatan memperjuangkan nilai-nilai kesederhanaan di peringkat global seperti didukung oleh Pergerakan Kesederhanaan Global (GMM).
"Dalam memperjuangkan suara-suara kesederhanaan, GMM berusaha untuk meningkatkan persefahaman bersama dan prinsip hormat-menghormati serta menyumbang ke arah keamanan, pembangunan mampan dan inklusif, pertumbuhan yang saksama dan kesejahteraan sosial.
"Kami percaya bahawa kesederhanaan menyumbang kepada demokrasi kerana ia membuka jalan ke arah keharmonian dalam struktur sosio-budaya masyarakat majmuk," kata beliau semasa berucap pada Forum Demokrasi Bali Ke-9 di Bali, Indonesia hari ini.
Teks ucapan beliau dihantar kepada Bernama oleh Kementerian Luar.
Dalam ucapannya yang bertemakan "Agama, Demokrasi dan Pluralisme", Reezal berkata amalan demokrasi dalam masyarakat majmuk adalah penting kerana ia memupuk perasaan saling hormat menghormati dan persefahaman bersama.
"Ia sekali gus memungkinkan kewujudan bersama secara aman dan mengukuhkan hubungan rakyat dengan rakyat yang mengikat masyarakat," katanya.
Beliau berkata konsep 1Malaysia diperkenalkan sebagai inisiatif untuk menggalakkan perpaduan nasional, toleransi dan menerima perbezaan masing-masing.
"Justeru, adalah penting untuk menerima hakikat bahawa masyarakat majmuk, yang menyaksikan pelbagai kaum dapat mengekalkan dan mengembangkan budaya tradisional mereka, pasti akan menyumbang kepada demokrasi yang berjaya dan lebih bermakna.
"Oleh itu, penekanan kepada penyertaan inklusif rakyat sudah pasti akan melenyapkan ketidakimbangan sosial dan ketegangan," tambah beliau.
-- BERNAMA
#GMM #Kementerian Luar #Reezal Merican
;