Sokong RUU 355 atau ditolak pada PRU14 - Sekretariat Ummat

Harits Asyraf Hasnan
November 24, 2016 11:29 MYT
Kira-kira 50 orang mewakili pelbagai NGO Islam berkumpul di pekarangan bangunan Parlimen mendesak supaya Ahli Parlimen beragama Islam menyokong pindaan Akta 355. -Astro AWANI/Harits Asyraf Hasnan
Gabungan 500 badan bukan kerajaan (NGO) Islam mendesak Ahli Parlimen Islam untuk menyokong pindaan Usul Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau dikenali sebagai Akta 355.
Pengerusi Sekretariat Ummat, Aminuddin Yahaya berkata pihaknya akan berkempen menentang Ahli Parlimen Islam yang menolak pindaan tersebut menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.
Tambahnya, kata du​a diberikan kepada Ahli Parlimen Islam untuk menyokong usul tersebut atau rakyat akan menolak mereka pada PRU depan.
"Saya ingin tegaskan, kalau ada MP Islam yang menentang (RUU 355), kita akan senaraikan mereka ini.
"InsyaAllah pada PRU14, kita akan berkempen di tempat mereka (bertanding), kita akan pergi dan jelaskan yang mana pemimpin ini yang menentang pemerkasaan undang-undang Islam.
"Jadi apa tujuan mereka (MP) duduk dalam Parlimen? Kenapa kita harus pilih mereka? Jadi perkara ini kita akan pergi kawasan mereka. Sebab itu kita beri kata dua kepada mereka. Mereka harus sokong perkara ini. Tiada sebab untuk mereka menentang," katanya ketika ditemui media di pekarangan bangunan Parlimen, di sini, hari ini.
Beliau sebelum itu bersama kira-kira 50 orang mewakili pelbagai NGO Islam berkumpul di pekarangan bangunan Parlimen mendesak supaya Ahli Parlimen beragama Islam menyokong pindaan Akta 355.
Selain itu, pihaknya juga sedia menjadi orang tengah dalam memberi penjelasan kepada Ahli Parlimen terutama daripada parti DAP dan MCA.
Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata pihak yang menentang usul pindaan RUU 355 diminta memahami sebaiknya intipati RUU sebelum bertindak demikian.
Jelasnya, pindaan undang-undang tersebut tidak lebih daripada bertujuan untuk meningkatkan martabat dan memperkasa sistem perundangan Islam di negara ini.
#Akta 355 #Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah 1965 #Aminuddin Yahaya #DAP #HADI AWANG #MCA #RUU
;