Sokong Palestin: Tun M persoal kenapa penuntut di Malaysia tak suara bantahan

Hasimi Muhamad
Mei 29, 2024 21:44 MYT
Dr Mahathir mendakwa penuntut universiti di negara-negara Islam tidak banyak memberikan reaksi berhubung kekejaman Israel terhadap Palestin - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa penuntut universiti di negara-negara Islam tidak banyak memberikan reaksi berhubung kekejaman Israel terhadap Palestin.
Dalam kenyataan pada Rabu, bekas Perdana Menteri itu turut mempersoalkan mengapa penuntut universiti di negara ini tidak menyuarakan bantahan terhadap rejim Zionis itu.
“Kenapa? Apakah Malaysia tidak berperasaan apa-apa apabila 40,000 orang Gaza, perempuan, kanak-kanak dan bayi dibunuh oleh Israel?” soal beliau.
Berbeza dengan mahasiswa dan mahasiswi universiti di Amerika dan Eropah, bekas Ahli Parlimen Langkawi itu melahirkan rasa kagum melihat mereka berdemonstrasi menyokong Palestin dan mengutuk Israel.
Mengambil contoh tindakan sedemikian, Dr Mahathir berkata mahasiswa-mahasiswa di negara berkenaan juga sudah sampai ke tahap tidak hadir kuliah.
“Ada yang tolak sijil semasa majlis konvokesyen dan keluar dari acara.
“Sesungguhnya siswa-siswi Amerika dan Eropah membantah dengan sekuat-kuatnya pembunuhan beramai-ramai orang Palestin oleh Israel,” ujarnya.
Beliau menambah Afrika Selatan turut menunjukkan kesungguhan dengan membawa kes genosid oleh Israel ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).
Pada Mac lalu, Afrika Selatan memohon ICJ untuk mengenakan langkah kecemasan baharu ke atas Israel, susulan keadaan mendesak di Gaza dengan penduduk menghadapi kebuluran akibat serangan rejim zionis.
Ia kali kedua negara itu meminta ICJ menambah langkah bagi mengawal keganasan Israel, selepas permintaan pertama pada Februari lalu, ditolak.
#Mahkamah Keadilan Antarabangsa #langkah kecemasan #keganasan israel #kes genosid
;