Soket elektrik di bas ekspres tiada piawaian tersendiri - Anthony Loke

Ridauddin Daud
November 7, 2024 13:26 MYT
Loke berkata, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) telah melarang penggunaan soket elektrik di dalam bas ekspres buat sementara waktu. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Soket elektrik di dalam bas ekspres tidak mempunyai piawaian tersendiri seperti mana yang dipraktikkan dalam perkhidmatan kereta api dan kapal terbang.

Ringkasan AI
  • Ketiadaan Piawaian Soket Elektrik: Soket elektrik dalam bas ekspres tidak mempunyai piawaian khusus seperti dalam kereta api dan kapal terbang. Kementerian Pengangkutan (MOT) akan meneliti SOP baharu untuk menetapkan piawaian ini.
  • Larangan Sementara Penggunaan Soket: Susulan kematian seorang remaja akibat renjatan elektrik, APAD telah melarang penggunaan soket elektrik dalam bas ekspres buat sementara waktu sehingga siasatan selesai.
  • Kerjasama dengan Suruhanjaya Tenaga: MOT akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Tenaga untuk menilai dan memperbaiki SOP sebelum membenarkan penggunaan soket elektrik dalam bas ekspres.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, Kementerian Pengangkutan (MOT) akan meneliti prosedur operasi standard (SOP) baharu bagi menetapkan piawaian untuk soket tersebut.
Menurutnya, berdasarkan siasatan, soket elektrik tidak dimasukkan sebagai sebahagian daripada pemeriksaan terhadap kenderaan tersebut.
Tambah beliau, susulan kematian seorang remaja 18 tahun akibat renjatan elektrik pada Isnin lepas, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) telah melarang penggunaan soket elektrik di dalam bas ekspres buat sementara waktu.
“Memang APAD telah mengeluarkan satu larangan sementara penggunaan soket elektrik dalam bas ekspres sehingga siasatan tersebut selesai dijalankan.
“Setakat ini, semua bas yang ada soket tersebut, dilarang untuk menggunakan soket ini sementara waktu sebab kita nak dapatkan punca sebenar, apakah punca insiden ini.
“Tapi sementara waktu, soket itu memang dilarang untuk digunakan. Sementara itu, kita ada mendapatkan nasihat daripada pihak Suruhanjaya Tenaga dan memang selepas pasukan petugas khas ini sediakan laporan.
“Kalau ada apa-apa penambahbaikan yang perlu dilakukan bagi pihak Kementerian Pengangkutan, kita bersedia untuk bekerja sama dengan Suruhanjaya Tenaga.
“Terutamanya adalah untuk melihat balik SOP yang kita laksanakan sebelum pendawaian atau penggunaan soket-soket ini dibenarkan dalam bas ekspres,” katanya.
Beliau berkata demikian di Dewan Rakyat pada Khamis, menjawab soalan tambahan daripada Mohd Nazri Abu Hassan (PN - Merbok) berkaitan insiden renjatan elektrik di bas ekspres baru-baru ini.
#Anthony Loke #renjatan elektrik #bas ekspres #Dewan Rakyat #remaja maut
;