Sogok ejen TNB, dua pelombong 'bitcoin' didenda RM55,000

Shuhada Abdul Kadir
Oktober 4, 2022 15:44 MYT
Tertuduh Tey Boon Sin, 33, dan Leang Ting Sheng, 43, masing-masing didenda RM45,000 dan RM10,000 setiap seorang selepas membuat pengakuan bersalah. - Foto BERNAMA
AYER KEROH: Padah memberi suapan kepada ejen Tenaga Nasional Berhad (TNB) sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan atas kesalahan mencuri elektrik, dua pelombong bitcoin didenda RM55,000 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini.
Tertuduh Tey Boon Sin, 33, dan Leang Ting Sheng, 43, masing-masing didenda RM45,000 dan RM10,000 setiap seorang selepas membuat pengakuan bersalah atas empat pertuduhan pilihan yang dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.
Mengikut dua pertuduhan terhadap Boon Sing, dia didapati memberi suapan wang tunai sebanyak RM14,500 dan RM17,500 menerusi dua transaksi kepada ejen TNB sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan kerana mengambil dan menggunakan elektrik dengan curang di bawah perenggan 37(3)(a) dan 37(3)(c) Akta Bekalan Elektrik 1990.
Kesalahan itu dilakukan menerusi dua kali pertemuan secara berasingan di tempat letak kereta sebuah premis di Jalan Kota Laksamana pada 3.45 petang, 6 Oktober 2021 dan di tempat letak kereta berhadapan bangunan Perbadanan Kemajuan Tanah Adat Melaka pada pukul 6 petang, 19 November 2021 lalu.
Manakala bagi Tin Sheng, dia didapati memberi sogokan sebanyak RM500 dan RM2,500 bagi tujuan sama.
Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Jalan Merdeka, Melaka Tengah pada pukul 4p etang, 20 September 2021 dan tempat letak kereta sebuah premis perniagaan, Alor Gajah pada pukul 3.50 petang, 4 Oktober 2021.
Justeru mereka didakwa mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak sampai 10 tahun, dihukum dengan penjara yang boleh sampai satu per empat daripada tempoh yang lama sekali atau denda atau kedua-duanya sekali.
Terdahulu pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Irwanshah Abdul Samat bagaimanapun memohon agar hukuman setimpal diberikan dengan mengambil kira kesalahan rasuah adalah serius dan faktor kepentingan awam.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman RM45,000 terhadap Boon Sin atau 11 bulan penjara jika gagal bayar dan RM10,000 terhadap Tin Sheng atau lima bulan penjara jika gagal bayar.
Boon Sin diwakili peguam Azrul Zulkifli Stork manakala Tin Sheng yang diwakili peguam Azri Abd Hamid.
#pelombong bitcoin #ejen TNB #Mahkamah Majistret Air Keroh #Curi Elektrik
;