SODOMI II: Anwar yakin bebas
Syafique Shuib
Februari 9, 2015 03:45 MYT
Februari 9, 2015 03:45 MYT
Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu ceramah di Padang Timur di sini malam tadi, berkata beliau yakin akan dibebaskan namun bersedia dengan sebarang kemungkinan yang bakal menimpa dirinya apabila keputusan rayuannya diumumkan pada Selasa.
Ceramah ini merupakan jelajah terakhir `Kempen Rakyat Hakim Negara' sebelum keputusan kes liwat membabitkannya pada Selasa.
"Kalau ikut fakta. Jangan risau. Saya tak salah, jangan hantar saya ke penjara.
"Saya masih harapkan keputusan yang waras berdasarkan fakta," kata Anwar yang berucap di hadapan kira-kira 2,500 penyokong yang hadir.
Namun Anwar bersedia dengan sebarang kemungkinan, termasuk hukuman penjara buat kali ke-4.
"Saya sudah pun berusia 67 tahun tapi saya kena terus ke hadapan dan berkata 'Ya saya bersedia.'
"Saya menerima apa sahaja ujian jika ini harga yang harus saya bayar untuk mencapai cita-cita perjuangan kita iaitu keadilan untuk rakyat Malaysia," kata Anwar.
Beliau turut ucapkan terima kasih kepada isteri Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah dan anak-anak.
"Keluarga saya kuat dan hebat. Mereka tahu apa erti perjuangan dan erti pengorbanan dan pengorbanan itu memerlukan kesabaran," katanya.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada para penyokong yang risau dengan keputusan mahkamah.
"Saya begitu tersentuh dengan sentimen itu. Saya berterima kasih. Saya tidak boleh minta lebih dari itu," katanya mengakhiri ucapannya.