Dua orang guru akan didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban pada Rabu kerana disyaki terbabit dalam skandal kebocoran kertas soalan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2014 baru-baru ini.

Guru berkenaan akan didakwa di bawah Seksyen 28(3) Akta Majlis Peperiksaan Malaysia 1980 (Akta 225) pada jam 2 petang.

Pertuduhan tersebut memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa, mengesahkan perkara itu ketika dihubungi.

"Dua orang guru itu akan dituduh berhubung kebocoran kertas soalan UPSR lalu," katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.

Pada 17 dan 18 September lalu, tiga guru termasuk seorang wanita ditahan di Negeri Sembilan untuk membantu siasatan berhubung kebocoran kertas soalan subjek Sains, Bahasa Inggeris dan Matematik.

Mereka ialah seorang guru lelaki berusia 34 tahun yang ditahan di Seremban, manakala seorang lagi guru lelaki, 36, ditahan di Mantin. Guru wanita berusia 24 tahun pula ditahan di Labu.

Peralatan komunikasi milik tertuduh turut dirampas.

Akibat kebocoran kertas ujian UPSR itu, kertas soalan Sains, Matematik, Bahasa Inggeris dan Bahasa Tamil terpaksa diduduki semula.