Soalan UPSR bocor: 5 Jan sebutan semula kes jurutera

Bernama
Disember 9, 2014 09:18 MYT
Tertuduh yang berasal dari Ipoh, Perak, mengaku tidak bersalah atas kelima-lima pertuduhan itu.
Mahkamah Sesyen Kemaman pada Isnin menetapkan 5 Jan depan untuk sebutan semula kes seorang jurutera, P.Prem Kumar, 34, yang didakwa berhubung kebocoran kertas soalan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada September lalu.
Hakim Rofiah Mohamad menetapkan tarikh itu untuk serahan dokumen oleh peguam tertuduh, P.S. Moorthy.
Prem Kumar, yang bekerja di sebuah syarikat bahan kimia di sini, didakwa atas lima pertuduhan memiliki beberapa helaian kertas soalan UPSR bagi mata pelajaran Bahasa Tamil, Sains dan Matematik pada September lepas melalui telefon pintar jenis Iphone5.
Kejadian didakwa berlaku di Kilang Malay Sino Chemical PT4406 di Kawasan Perindustrian Telok Kalong dekat sini pada pukul 1 tengah hari, antara 9 hingga 15 Sept lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 8(1)(c)(iii) Akta Rahsia Rasmi 1972 yang membawa hukuman penjara tidak kurang dari setahun dan tidak lebih tujuh tahun.
Ketika kes itu mula disebut pada 10 Nov lepas, tertuduh yang berasal dari Ipoh, Perak, mengaku tidak bersalah atas kelima-lima pertuduhan itu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Shazreen Nadia Zulkipli.
#Mahkamah Sesyen Kemaman #UPSR bocor #USPR
;