Soalan Sejarah SPM didakwa bocor: Diam, tiada kenyataan rasmi tidak selesaikan masalah - PIBGN

Astro Awani
Mac 2, 2021 18:46 MYT
KPM dan LPM perlu keluarkan kenyataan berhubung dakwaan soalan subjek Sejarah peperiksaan SPM 2020 bocor. - Gambar Hiasan
KUALA LUMPUR : Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) perlu mengeluarkan kenyataan berhubung soalan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 didakwa bocor melibatkan topik Kertas 2 subjek Sejarah.
Presiden Persatuan Ibu Bapa Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Mohamad Ali Hasan berkata, mendiamkan diri bukanlah langkah penyelesaian terbaik.
“Isu berkaitan soalan bocor, khususnya bagi subjek Sejarah di peringkat SPM adalah satu perkara yang serius dan tidak boleh sepi tanpa apa-apa kenyataan rasmi daripada pihak berwajib.
“Sama ada di waktu pandemik atau tidak pandemik, ini berkait rapat dengan integriti institusi dan keyakinan awam serta masyarakat malah dunia berkaitan kredibiliti dan mutu subjek tersebut.
“Perlu ada penjelasan dan akauntabiliti selepas terjadinya ‘pencemaran’ tersebut,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Selasa.
BACA: SPM 2020: Soalan Sejarah Kertas 2 didakwa bocor?
Astro AWANI pada 24 Februari lepas melaporkan soalan peperiksaan SPM 2020 didakwa bocor melibatkan topik Kertas 2 subjek Sejarah.
Memetik laporan The Star, topik bagi soalan kertas berkenaan dikatakan tersebar di aplikasi WhatsApp sebelum calon menduduki peperiksaan subjek berkenaan.
Laporan itu mendakwa, antara topik bocor yang tersebar adalah topik berkaitan 'Penentangan di Perak', 'Maritim' dan 'Wawasan 2020'.
Subjek Sejarah yang merangkumi Kertas 1 dan Kertas 2 adalah salah satu subjek teras yang perlu diambil oleh lebih 401,000 calon SPM tahun ini.
#Sijil Pelajaran Malaysia #SPM #sekolah #peperiksaan #pendidikan #Kementerian Pendidikan #KPM #integriti #bocor #guru #presiden #pandemik #COVID-19
;