Soalan lewat diterima punca timbalan menteri gagal jawab - Pegawai
Ridauddin Daud
Mac 27, 2023 15:50 MYT
Mac 27, 2023 15:50 MYT
KUALA LUMPUR: Susulan ditegur kerana gagal menjawab soalan di dalam Dewan Rakyat, Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Timbalan Menteri Pendidikan tampil memberikan penjelasan berhubung kekeliruan itu.
Menurut Lim Swee Kuan, Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ling lewat menerima soalan daripada Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Datuk Ahmad Marzuk Shaary.
Menurutnya, soalan ke-16 itu hanya diterima pada jam 11.35 pagi pada Isnin.
“Pihak kami telah menyediakan jawapan terperinci bagi tiga soalan iaitu soalan ke-4, ke-8 dan ke-11.
“Timbalan Menteri juga telah menjawab kesemua tiga soalan seperti kelaziman di Dewan yang mulia pagi tadi.
“Tanpa diduga pada hari ini kami telah menerima soalan ke-16 pada jam 11.35 pagi. Pihak kami akan mengambil langkah lebih proaktif bagi mengelak perkara seperti itu berlaku lagi,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Jelasnya, dia akui perkara itu merupakan sesuatu di luar kelaziman dan memohon maaf atas perkara yang berlaku.
Astro AWANI pada Isnin melaporkan Ahmad Marzuk mendesak Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan timbalannya, Lim Hui Ying meletakkan jawatan.
Desakan itu dibuat susulan kegagalan Hui Ying menjawab soalan dikemukakan Ahmad Marzuk dalam sidang Dewan Rakyat pada Isnin.
Menurutnya, sepanjang penglibatannya dalam Sidang Parlimen, beliau tidak pernah melihat perkara itu berlaku dan menganggap Timbalan Menteri tidak kompeten kerana gagal menjawab soalan.
Kegagalan Hui Ying menjawab soalan turut ditegur Speaker, Datuk Ramli Md Nor selepas Ahmad Marzuk bangkit bertanyakan soalan nombor 16 kepada Kementerian Pendidikan.
Tegasnya, situasi tersebut tidak seharusnya berlaku dan ia memberi gambaran tidak baik kepada kerajaan.