Soalan bocor: Ibu bapa luah ketidakpuasan hati ekoran penangguhan

Syafique Shuib
September 10, 2014 23:50 MYT
Penangguhan menyusahkan murid-murid yang sebelum ini telah bertungkus-lumus mengulangkaji pelajaran. -Gambar fail
Kertas Peperiksaan Sains bagi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2014 yang ditangguhkan pada 30 September kerana didapati bocor telah menyusahkan kalangan calon yang telah bertungkus-lumus mengulangkaji pelajaran.
Itulah antara luahan ibu-bapa yang berkongsi pendapat mereka di laman Facebook Astro AWANI yang secara amnya tidak berpuas hati dengan penangguhan peperiksaan itu.
“Pada pandangan saya, soalan bocor bukan banyak tetapi amanah seseorang itu yang tidak sepatutnya. Betul UPSR ini tidak ada apa sangat, tetapi dengan USPR dapat menilai anak kita ini bagaimana. Kesian kepada semua pelajar yang sudah bertungkus lumus belajar dan pergi ke tuisyen untuk menjawab soalan.
"Pada pandangan saya, lebih baik ia diteruskan sebab tidak banyak pun (soalan yang bocor). Cuma perlu ambil tindakan kepada orang yang tidak amanah itu,” tulis pengguna Facebook yang dikenali sebagai Pelangi Petang.
Mohd Ramli Yaakob bertanya kenapa penangguhan begitu lama sangat.
“Biasanya Lembaga Peperiksaan kan ada soalan ganti. Mana pergi soalan ganti itu. Bocor juga ke? Menghilangkan mood pelajar sahaja,” tulis beliau.
Reka Love Richard berkata sepatutnya penangguhan dilakukan di sekolah tertentu sahaja.
“Ini dah tangguh sampai hujung bulan pula. Tangguh untuk sekolah yang tertentu sahajalah, kenapa semua sekolah menjadi mangsa? Kesian pulak dekat budak-budak yang tidak bersalah,” kongsi Reka.
Bokhari Ismail berkata, “Kesian anak aku. Dia dah set dah. Esok last lepas itu dia nak enjoy dah.”
Ki Sabariah Ku Saad pula berpendapat bahawa ia bukan salah kerajaan namun orang-orang di dalam kementerian dan guru-guru yang tidak amanah.
"Sepatutnya bila tahu soalan bocor, Kementerian Pendidikan dan Majlis sediakan lima set soalan setiap subjek dan terus tukar je. Harap-harap di masa akan datang perkara dapat dibendung dengan bijak dan cekap,” tulis Suraiya Shaari.
Mohd Nuruzzaman mahu pihak Kementerian Pelajaran untuk mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang bertanggungjawab.
“Sebagai guru sains sekolah rendah saya amat kesal dan malu atas sikap sebahagian penjawat awam yang tidak telus dan amanah dalam menjalankan kehendak kerajaan. Bagi penjawat awam yang tidak amanah itu, tidakkah anda faham dengan satu akta yang dinamakan Akta Rahsia Rasmi? Anda telah menyusahkan guru, pegawai, ibu-bapa dan pelajar itu sendiri atas sikap anda yang tiada integriti terhadap kerja,” tulis beliau.
Pengarah Peperiksaan Dr Na'imah Ishak berkata siasatan awal mendapati kandungan soalan bagi kertas peperiksaan tersebut telah tersebar menerusi media sosial.
"Lembaga Peperiksaan memaklumkan bahawa kertas peperiksaan Sains 018, 028, 038 bagi UPSR tahun 2014 yang dijadualkan pada 11 September 2014 ditangguhkan.
"Tarikh baharu bagi peperiksaan Sains 018, 028, 038 adalah pada 30 September 2014," kata Dr Na'imah.
#peperiksaan sains #UPSR
;