'Snowman' dari bahan terbuang jadi penyeri sambutan Hari Krismas
Syah Hairizal Kamalul Arifin
Disember 24, 2020 19:06 MYT
Disember 24, 2020 19:06 MYT
KENINGAU: Pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) termasuk mengehadkan tetamu yang hadir sempena sambutan Hari Krismas tidak mematahkan semangat sebuah keluarga yang beragama Kristian di Keningau, Sabah bagi meraikan perayaan itu.
Bagi keluarga Juliah Malintau, 58, dari Kampung Kedalakan, mereka menjadikan bahan-bahan terbuang khususnya botol-botol plastik untuk membuat patung orang salji (snowman).
Menurut Juliah, pada mulanya dia berasa sedih kerana tidak dapat meraikan perayaan tersebut seperti kebiasaannya namun cetusan idea dan kreativiti anak-anaknya mencipta snowman memulihkan kembali semangatnya.
"Pertamanya, saya bersyukur pada Tuhan kerana tahun 2020 ini kami dapat merasakan sedikit keceriaan melalui hiasan sempena Hari Krismas.
"Jujurnya saya memang berasa sedih sebab kami tidak dapat pergi gereja dan tidak dapat menjemput kawan-kawan datang ke rumah.
"Untuk tahun ini, kami meraikan Krismas ini dengan ahli keluarga sahaja dan kalau ada tetamu kami akan ikut SOP." Katanya yang ditemui dalam tinjauan persiapan perayaan Hari Krismas di Keningau pada Khamis.
Menurut anak keduanya Anastasia Olive, 35, beliau dan empat adik beradik perempuan yang lain bersama-sama mengumpul bahan terbuang tersebut dan membuat rekaan patung 'snowman'.
Jelas Anastasia, mereka mengumpul bahan terbuang tersebut sejak seminggu yang lalu dan kebanyakannya diambil di tepi jalan raya dan longkang.
"Untuk sambutan tahun ini mungkin tidak semeriah seperti tahun lalu sebab sekarang ini musim pandemik COVID-19.
Cerita Sebalik Berita: 'Snowman' penyeri sambutan Krismas di Sabah
"Maka, untuk memeriahkan lagi sambutan, kami terpaksa buat aktiviti tambahan keluarga dengan buat patung snowman supaya ada sedikit perbezaan.
"Kami berjaya kumpul lebih 50 botol terbuang dan kami bersihkan terlebih dahulu sebelum kami buat patung itu," katanya.
Tambahnya, kesuraman sambutan perayaan tersebut telah mula dirasakan sejak Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan di negeri itu pada Oktober lalu.
"Saya amat berharap agar tahun depan akan lebih baik dan penularan COVID-19 dapat dihentikan dengan cepat.
"Tahun hadapan kami mahu sambut perayaan ini bersama-sama dengan keluarga di luar sana dan dapat buat aktiviti ziarah menziarahi dengan mereka seperti tahun-tahun sebelum ini," katanya.