SMTrack nafi terlibat dalam projek RFID
Bernama
Januari 30, 2022 17:10 MYT
Januari 30, 2022 17:10 MYT
KUALA LUMPUR: SMTrack Bhd hari ini menafikan dakwaan penglibatannya dalam projek sistem teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) ketika ini untuk plaza tol di seluruh negara.
Timbalan Pengerusi Eksekutifnya Azmi Osman berkata sehingga kini SMTrack tidak terlibat dalam projek itu.
"Propaganda politik itu tidak bertanggungjawab dan SMTrack akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap tuduhan tidak berasas untuk melindungi integriti syarikat," katanya dalam satu kenyataan untuk menyangkal dakwaan baru-baru ini yang tersebar di Internet melibatkan SMTrack.
SMTrack juga menafikan dakwaan bahawa pelantikan Datuk Saiful Nizam Mohd Yusoff sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif syarikat itu adalah berkaitan dengan hubungan politik.
Ia juga tidak melibatkan Tan Sri Lee Kim Yew dalam sebarang tindakan melobi untuk mana-mana projek walaupun Lee adalah pemegang saham utamanya.
-- BERNAMA