SMS pembatalan pencalonan suatu pembohongan - Dr Subramaniam

Bernama
Julai 11, 2015 18:06 MYT
Subramaniam berkata SMS yang tersebar bahawa pemilihan peringkat cawangan parti itu telah dibatalkan CWC 2009, adalah suatu pembohongan. -Gambar fail
Pemangku presiden MIC Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata mesej khidmat pesanan ringkas (SMS) yang tersebar bahawa pemilihan peringkat cawangan parti itu yang dijadualkan diadakan hari ini dan esok telah dibatalkan Jawatankuasa Kerja Sementara 2009, adalah suatu pembohongan.
Dalam kenyataan hari ini, beliau berkata mesej itu dihantar "beberapa kumpulan yang berniat jahat untuk menggagalkan pencalonan kami".
"Ini semata-mata bohong. Kandungan SMS itu tidak benar," kata Dr Subramaniam sambil menggesa semua pengerusi cawangan MIC memfailkan kertas pencalonan masing-masing.
Pencalonan peringkat cawangan bagi kumpulan diketuai Dr Subramaniam bermula semalam, manakala urusan serupa bagi kumpulan lawannya, Datuk Seri G. Palanivel diadakan pada 9 Julai.
Krisis MIC tercetus berikutan perbezaaan pendapat antara Palanivel dan Dr Subramaniam selepas Pendaftar Pertubuhan mengeluarkan notis pada 5 Dis yang memerintahkan parti itu mengadakan pemilihan baharu bagi tiga naib presiden dan 23 anggota CWC.
#pemangku presiden MIC #subramaniam
;