SMK St Michael Alor Setar terbakar
Astro Awani
September 17, 2019 13:18 MYT
September 17, 2019 13:18 MYT
800 pelajar bersama 61 guru Sekolah Menengah St Michael, di Alor Setar terkejut dan cemas seketika apabila bangunan sekolah itu tiba-tiba terbakar.
Dalam kejadian pada jam 12 tengahari itu, sesi pembelajaran sedang berlangsung dan rata-rata guru dan pelajar berada di dalam bilik darjah.
Api dipercayai bermula dari Block A yang sedang dalam kerja pengubahsuaian.
Menurut Penolong Kanan 1 Sekolah Menengah St Micheal, Mahayaddin Abdul Rahman mujur bangunan sekolah itu tidak digunakan dan ketika kejadian kontraktor sedang melakukan kerja pendawaian elektrik.
"Api marak di bilik auditorium secepat lebih kurang sepuluh minit sebelum merebak ke seluruh bangunan di tingkat atas sahaja.
"Sebenarnya bangunan ini di tingkat atasi tu kerja kerja wirring dilaksanakan oleh kontraktor dan penukaran bumbung yang baru jadi mereka belum serah lagi projek ini kepada sekolah dan masih lagi dalam pembinaan," katanya ketika ditemui hari ini.
Jelas Mahayaddin ketika kejadian kesemua guru dan pelajar telah diarahkan berkumpul di kawasan lapang bersebelahan kantin sekolah.
Sementara itu menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain, tindakan pantas bomba yang tiba di lokasi dengan pantas berjaya menyelamatkan bangunan itu daripada musnah dalam kebakaran.
Siasatan awal mendapati kebakaran hanya membabitkan struktur siling dan bumbung bangunan sahaja iaitu hanya sekitar 20 peratus.
Mohamadul Ehsan berkata, siling itu diperbuat daripadanya lapisan fiber menyebabkan api marak dengan cepat kerana mudah terbakar.
Api berjaya dikawal pada jam 12.36 tengah hari dan tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan.
Punca serta nilai kerugian masih dalam siasatan.
Operasi disertai seramai 17 anggota termasuk pegawai dan dibantu 47 Pasukan Bomba Sukarela (PBS).