SMK Seri Sentosa diminta pindah CCTV - Kementerian Pendidikan

Bernama
September 13, 2013 15:41 MYT
Kementerian Pendidikan meminta pihak pentadbiran Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Sentosa di sini memindahkan kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang dalam tandas pelajar ke kawasan yang lebih sesuai.
Menurut kementerian itu, berdasarkan siasatan didapati kawasan yang dipantau menerusi CCTV itu hanya melibatkan kawasan sinki dan tidak melibatkan keseluruhan tempat dalam kawasan tandas tersebut.
"Pemantauannya juga didapati tidak menghala ke bilik mangkuk tandas (cubical) pelajar," menurut Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut kementerian itu: "Hal pemasangan CCTV ini juga telah dibincang bersama Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) sekolah sebagai usaha menangani masalah vandalisme, disiplin serta mengawal keselamatan pelajar di sekolah tersebut."
Walaupun usaha dan inisiatif yang dilakukan oleh pihak pentadbir dan PIBG sekolah itu merupakan usaha yang baik, namun pemasangan CCTV bagi memantau dan menangani isu tersebut dalam kawasan tandas sekolah adalah tidak wajar dilaksanakan kerana bertentangan dengan hak kebebasan pelajar, menurutnya.
#CCTV #Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Sentosa
;