SMK Dato' Abdul Rahman Yaakub sekolah pertama peroleh manfaat Kempen ESG Taiwan Excellence
Bernama
November 2, 2022 09:30 MYT
November 2, 2022 09:30 MYT
IPOH: Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Abdul Rahman Yaakub di Bota Kanan, Parit menjadi sekolah pertama di Malaysia yang mendapat input teknologi hijau dan inovasi dari Taiwan menerusi Kempen Taiwan Excellence's ESG (Persekitaran, Sosial, dan Tadbir Urus).
Taiwan Excellence dalam satu kenyataan memaklumkan sekolah berkenaan merupakan antara 20 sekolah di Perak yang telah menyertai Program Eco-Schools sejak 2019 dan dianugerahkan Anugerah Bendera Hijau, baru-baru ini.
"Sekolah ini komited terhadap pendidikan alam sekitar melalui Program Eco-Schools yang dibiayai terutamanya oleh sektor swasta melalui inisiatif ESG syarikat.
"Bagi Eco-Schools Perak, MB Inc Perak adalah penaja utama, dengan menyumbang RM1.2 juta dalam tempoh tiga tahun," menurut kenyataan itu.
Program itu diadakan untuk mempamerkan kerjasama jangka panjang, mampan antara syarikat tempatan dan antarabangsa, jabatan dan agensi Persekutuan dan Negeri, pembiaya serta pengendali kebangsaan bagi program Eco-Schools, Green Growth Asia Foundation (GGAF).
Sementara itu dalam kenyataan sama, Ketua Pegawai Operasi MB Inc Perak Nor Afzanizam Abd Manan berkata MB Inc Perak menyasarkan untuk mencapai sekurang-kurangnya 100 Eco-Schools menjelang 2025.
"Kami menumpukan golongan belia di negeri ini dan melalui pembiayaan Program Eco-Schools di sini, ia pasti akan menyumbang ke arah memperoleh skor ESG yang baik," tambahnya.
Penasihat GGAF bagi Eco-Schools Perak Aznan Alias dalam kenyataan sama berkata program itu bertujuan untuk meningkatkan kesedaran alam sekitar dan masyarakat yang merupakan dua tonggak ESG kepada pemain industri.
GGAF menyasarkan 1000 Eco-Schools di negara ini menjelang 2025 melibatkan Jabatan Pendidikan Negeri, pihak berkuasa tempatan, agensi negeri, universiti dan sektor swasta yang memberi tumpuan kepada ESG.
Program itu menjadi agenda nasional Julai lepas sempena pelaksanaan Pelan Tindakan Bandar Hijau apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed memulakan inisiatif "The Race to 1000 Eco-Schools Malaysia 2025" ketika gimik pelancaran Pelan Tindakan Bandar Hijau IMT-GT BIMP-EAGA.
-- BERNAMA