SMK Bandar Utama 3, ST Kuen Cheng juara Pertandingan Robotik
Sinar Harian
September 11, 2023 08:45 MYT
September 11, 2023 08:45 MYT
SHAH ALAM: Kreativiti Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Utama 3 dan Sekolah Tinggi (ST) Kuen Cheng mereka bentuk sendiri robot berjaya merangkul tempat pertama Pertandingan Robotik anjuran Bank Rakyat sempena Karnival Pendidikan Sinar Bestari.
Juara membawa pulang wang tunai RM600 berserta pingat selepas menewaskan 10 sekolah lain.
Guru pembimbingnya, Chan Hua Jian berkata, gabungan dua sekolah itu merupakan pencapaian yang membanggakan kerana pertandingan tersebut adalah penyertaan kali pertama dengan persediaan dilakukan dalam tempoh dua minggu sahaja.
“Saya bangga dengan pelajar kerana kejayaan ini adalah hasil kerja keras mereka dalam membuat coding dan reka bentuk robot sendiri.
“Jadi, kami berharap bertandingan seperti ini akan diteruskan untuk mencungkil lebih ramai bakat anak-anak muda,” katanya di Kompleks Kumpulan Karangkraf di sini pada Ahad.
Sementara itu, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yuk Chai pula memenangi tempat pertama, ketiga, keempat dan kelima dalam pertandingan tersebut bagi kategori sekolah rendah, sekali gus membawa pulang hadiah keseluruhan berjumlah RM1,450.
Tempat kedua pula dimenangi oleh Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Baru Kuala Selangor (kategori rendah) dan ST Kuen Cheng (kategori menengah), dengan masing-masing menerima RM450, manakala ketiga diraih SMK Tinggi Batu Pahat (RM300).
Dalam pada itu, guru pembimbing SJKC Yuk Chai, Tee Suan Lim menyifatkan pertandingan tersebut sengit, namun murid yang menyertainya mampu bersaing secara sihat seterusnya mencapai kejayaan.
“Bagi saya, usaha mereka sangat berbaloi dengan latihan yang dilakukan selama sebulan bermula pada awal Ogos lalu.
“Bagaimanapun, pertandingan kali ini berbeza, bukan hanya bergantung kepada strategik sebaliknya teknik dan kecerdasan otak,” ujarnya.
Sementara itu, juri yang juga Pengasas MyRobotz Enterprise, Koh Seng Yau berkata, robot ‘gripper’ merupakan satu alat menggunakan coding yang direka pelajar untuk bergerak sendiri bagi menyelesaikan tugasan memindahkan blok polisterin atau kayu ke tempat disediakan.
Jelasnya, format pertandingan bagi sekolah rendah adalah setiap pasukan perlu memasukkan blok polisterin menggunakan robot ke dalam dua bakul hitam.
“Sebelum menyasarkan skor utama iaitu bakul di tengah antara empat penjuru ini, ia menentukan kemenangan bagi pusingan berkenaan.
“Mereka perlu menempuh 12 pusingan awal diikuti separuh akhir dan akhir yang mengambil masa tiga jam untuk selesaikan semuanya,” katanya.
Beliau berkata, sekolah menengah pula berbeza apabila pelajar perlu menggunakan robot yang telah diprogramkan untuk meletak kotak di atas tiga daripada sembilan blok kayu bagi memenangi pusingan berkenaan. - Sinar Harian