Smart siap siaga hadapi masalah banjir

Bernama
Oktober 4, 2018 06:00 MYT
Smart juga berkomunikasi secara konsisten dengan Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS) untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai keadaan sungai di sekitar Lembah Klang. - Gambar fail
Pihak pengurusan Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong Sdn Bhd (Smart) diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga selama 24 jam sehari berikutan beberapa siri kejadian banjir sekitar Lembah Klang sejak kebelakangan ini.
Menurut kenyataan Smart pada Khamis, pihaknya juga telah melakukan pemeriksaan dan pemantauan secara menyeluruh terhadap pintu kawalan banjir, pintu kawalan jalan raya dan semua pintu kedap air semasa Ujian Bulanan Terowong Smart pada 26 Sept lalu bagi memastikan sistem banjir pada terowong berada dalam baik dan mengikut keperluan yang ditetapkan.
"Peranan utama Smart adalah mengurangkan masalah banjir di pusat bandaraya Kuala Lumpur terutama di hub perniagaan utama pusat bandar di Jalan Tun Perak, Jalan Melaka, Leboh Ampang, Dataran Merdeka dan kawasan sekitarnya.
"Kini kawasan-kawasan tersebut bebas daripada kejadian banjir disebabkan pemantauan berkala yang dijalankan pasukan Smart menerusi sistem terowongnya yang bermula di hulu Sungai Klang," katanya.
Smart juga berkomunikasi secara konsisten dengan Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS) untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai keadaan sungai di sekitar Lembah Klang terutama di pertemuan antara Sungai Klang dan Sungai Ampang di mana ia dihubungkan kepada sistem Terowong Smart.
--BERNAMA
#banjir #JPS #keselamatan #komunikasi #musim hujan #pemantauan #pemeriksaan #sistem #SMART #terowong #Terowong SMART #ujian bulanan
;