Smart SBB tingkat pengeluaran padi negara, kurang kebergantungan orang tengah

Dewi Nur Harasha Alias
Mei 17, 2022 19:14 MYT
Ronald berkata, program yang mendapat penyertaan 4,123 pesawah dan 24 syarikat peneraju di seluruh negara itu bermatlamat meningkatkan produktiviti dan pendapatan petani. - Gambar/ Astro AWANI
PERMATANG PAUH: Program Smart Sawah Berskala Besar (SMART SBB) akan meningkatkan pengeluaran padi dan beras negara dan pada masa sama mengurangkan kebergantungan kepada ‘orang tengah’.
Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Ronald Kiandee berkata, program yang mendapat penyertaan 4,123 pesawah dan 24 syarikat peneraju di seluruh negara itu bermatlamat meningkatkan produktiviti dan pendapatan petani.
Katanya, pihaknya menyasarkan pembabitan kawasan sawah padi seluas 150,000 hektar di seluruh negara secara berperingkat.
"Dengan konsep ini kita yakin hasil purata beras negara akan meningkat dan juga hasil pengeluaran dari tanah ladang kita dioptimumkan melalui pengurusan ladang yang lebih efisien.
"Pada masa sama kita melihat program Smart SBB ini akan mengurangkan pengaruh orang tengah dalam industri padi dan beras negara.
"Kita tahu industri ini sekian lama dipengaruhi oleh orang tengah di setiap rantaian, dan dengan pengolahan Smart SBB kita melihat pengaruh mereka kini berkurangan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas perasmian program Smart SBB dan sesi menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara kerajaan dan syarikat peneraju Pulau Pinang di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Ronald berkata, SMART SBB di Pulau Pinang melibatkan kawasan seluas 942 hektar dan 420 orang pesawah yang akan dilaksanakan di bawah seliaan Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Pulau Pinang.
Katanya, kolaborasi strategik antara MAFI bersama koperasi dan syarikat peneraju akan menjadi titik permulaan kepada perubahan landskap industri padi dan beras tempatan di Pulau Pinang.
#Smart SBB #Keselamatan makanan #pengeluaran beras #Ronald Kiandee
;