Smart SBB mampu bantu capai sasaran SSL beras negara

Bernama
Februari 22, 2023 11:57 MYT
Program Smart SBB telah diperkenal pada Februari 2021 dengan sasaran pelaksanaan program seluas 150,000 hektar kawasan bertanam. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Pelaksanaan program Smart Sawah Berskala Besar (Smart SBB) bakal membantu negara mencapai sasaran Tahap Sara Diri (SSL) beras dalam beberapa tahun akan datang, menurut Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu.
Beliau berkata sehingga kini, pelaksanaan program itu melibatkan kerjasama 27 syarikat peneraju yang terdiri daripada pelbagai syarikat berkaitan kerajaan (GLC), koperasi pesawah dan syarikat swasta dengan keluasan kawasan lebih 11,000 hektar di seluruh negara serta melibatkan kira-kira 5,000 peserta program.
"Dengan sambutan penyertaan pesawah yang semakin memberangsangkan dan peningkatan hasil daripada pesawah sehingga mencapai 180 peratus, ia jelas menunjukkan pelaksanaan program ini berada pada landasan yang betul dan mampu mencapai kesemua sasaran yang telah digariskan.
"... perubahan bentuk baja perlu diusahakan setiap waktu terutama (penggunaan) baja berbentuk organik yang sekarang diperkenal dan digunakan bagi menambahkan hasil nyata yang kita lihat berlaku sekarang," katanya.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian) yang bertanyakan status terkini program Smart SBB.
Mohamad berkata program Smart SBB telah diperkenalkan kerajaan pada Februari 2021 dengan sasaran pelaksanaan program seluas 150,000 hektar kawasan bertanam dan purata pengeluaran hasil sebanyak tujuh tan metrik per hektar.
Program ini bertujuan membantu pencapaian sasaran kadar SSL beras negara kepada 75 peratus menjelang tahun 2025 dan 80 peratus menjelang tahun 2030.
-- BERNAMA
#smart sawah berskala besar #Smart SBB #beras negara #Mohamad Sabu
;