SMA tingkatkan keselamatan siber menerusi rangka tindakan ekonomi digital
Bernama
Oktober 24, 2023 07:15 MYT
Oktober 24, 2023 07:15 MYT
KUCHING: Pihak Berkuasa Multimedia Sarawak (SMA) komited dalam meningkatkan keselamatan siber melalui Rangka Tindakan Ekonomi Digital Sarawak 2030, kata Pengurus Besar SMA Datuk Dr Anderson Tiong Ing Heng
Beliau berkata keselamatan siber adalah aspek asas ekosistem digital yang berkembang pesat menjadikan keselamatan siber bukan sahaja pilihan tetapi satu keperluan.
"Ia melangkaui perlindungan data dan maklumat merangkumi aspek infrastruktur, sistem pengangkutan, penjagaan kesihatan, pembuatan, peruncitan, kewangan dan aspek kemasyarakatan. Pada 2021, Laporan Ancaman Antarabangsa mencatatkan kerugian berjumlah US$6 trilion dalam jenayah siber.
"Kerjasama, pengetahuan, dan komunikasi yang tepat mengenai ancaman dan cara menanganinya adalah langkah penting untuk terusm aju," katanya pada Malam Apresiasi Media di sini, pada Selasa.
Anderson berkata pendidikan penting untuk kedua-dua pengguna akhir dan industri dengan pendekatan yang mementingkan keselamatan akan membantu mengurangkan risiko pada peringkat awal.
"Bagaimanapun, serangan siber akan terus berlaku, dan ia penting untuk bersedia dengan baik dalam meminimumkan risiko kepada keseluruhan sistem," katanya.
Hasilnya, beliau berkata kerajaan Sarawak mempercepatkan pelaksanaan Rangka Kerja Keselamatan Siber melalui Unit Keselamatan Siber, memfokuskan kepada tadbir urus, dasar, pematuhan, penyelidikan, inovasi, teknologi, pembinaan kapasiti dan kerjasama yang berkesan.
-- BERNAMA