SM Imtiaz Yayasan Terengganu muncul juara Petronas All About Youth 2019
Afiq Ariffin
Ogos 6, 2019 06:01 MYT
Ogos 6, 2019 06:01 MYT
SIAPA sangka anak muda berusia belasan tahun punyai idea yang kreatif dan inovatif?
Kebijaksanaan dan kreativiti yang ditonjolkan dalam projek sistem pengesan awal kebakaran hutan oleh sekumpulan pelajar Sekolah Menengah (SM) Imtiaz Yayasan Terengganu berjaya menambat hati juri sehingga muncul juara pertandingan Yayasan Petronas Sentuhan Harapan All About Youth (AAY) 2019.
Ia sekali gus menyaksikan kumpulan itu membawa pulang wang tunai berjumlah RM20,000 berserta wang simpanan SSPN berjumlah RM1,000.
Projek yang dinamakan sebagai CO2NCER itu dicipta untuk membantu pasukan bomba dan penyelamat bagi mengesan kebakaran hutan dan ia berjaya mengalahkan lima buah sekolah lain yang merupakan wakil bagi negeri Sabah, Sarawak, Terengganu, Johor dan Melaka.
Menurut Ketua Projek Muhammad Hilmi Mohd Nazi, keterujaan mereka tidak dapat digambarkan sejurus dinobat sebagai pemenang peringkat kebangsaan kerana menyedari persaingan di antara kesemua sekolah amat sengit.
“Kami sangat bersyukur kerana segala usaha yang kami lakukan sepanjang pertandingan ini telah pun terbayar.
“Terima kasih kepada guru-guru pembimbing, sukarelawan Yayasan Petronas (Buddies) dan pihak sekolah kerana menyokong dan membantu kami sepanjang perjalanan kami sehingga ke peringkat akhir,” katanya selepas diumumkan sebagai juara AAY 2019, yang berlangsung di Melaka International Trade Centre (MITC) pada Selasa.
Dipilih sebagai finalis bagi mewakili negeri Terengganu pada pertandingan akhir reka cipta berkenaan, 20 pelajar itu berjaya menghasilkan ‘CO2NCER’ dalam masa hanya 11 minggu.
Bersesuaian dengan tema tahun ini iaitu “Mengurangkan Pelepasan Karbon Untuk Masa Depan Yang Lebih Baik”, CO2NCER berfungsi membekalkan maklumat berkenaan suhu, kadar kepekatan asap, kelajuan angin dan koordinat lokasi secara tepat kepada pasukan bomba dan penyelamat melalui sistem pesanan ringkas (SMS).
Sebanyak 50 sekolah dari lima negeri menyertai pertandingan ini dan setiap pasukan diberi modal permulaan bernilai RM1,000, alat kelengkapan teknologi bernilai RM1,250 dan bimbingan daripada sukarelawan Petronas bagi menjayakan projek mereka.
Sukarelawan Petronas, Chin Yo Bao berkata pelajar bimbingannya itu sangat bijak dan mempunyai daya pemikiran yang kritikal.
“Kerja ‘Buddies’ adalah mengasah kemahiran dan cara pemikiran mereka bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi.
“Kami memberi peluang untuk murid-murid kita menimba ilmu dan saya berharap ilmu itu berguna untuk mereka aplikasikan dalam hidup mereka,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Petronas, Lita Osman berkata AAY menawarkan peluang kepada anak muda untuk sama-sama membantu menyelesaikan masalah perubahan iklim menerusi reka cipta projek dan ujikaji.
“Panel juri begitu kagum dengan keupayaan pelajar mengaplikasikan ilmu sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) untuk menghasilkan idea yang menjadikan masa depan lebih baik.
“Saya berharap mereka akan terus mengasah projek masing-masing agar boleh dilancarkan ke seluruh negara,” tambahnya.
SMK Tebobon (Sabah) memenangi tempat kedua dan membawa pulang RM10,000 manakala SMK Tun Habab (Johor) muncul sebagai pemenang tempat ketiga dan menerima hadiah RM5,000.
SMK St Francis (Melaka) dan SMK Asyakirin (Sarawak) menerima hadiah sagu hati.
AAY merupakan program di bawah Tanggungjawab Sosial Korporat Petronas, di mana ia memberi tumpuan kepada usaha memacu inovasi sosial, penciptaan alat dan teknik penyelesaian yang memanfaatkan kesejahteraan masyarakat.
Sejak 2014, AAY telah disertai lebih 200 buah sekolah dan melibatkan 4,600 pelajar serta 200 projek kemasyarakatan yang berimpak besar telah dihasilkan, antaranya aplikasi telefon pintar nota sejarah, tandas mesra alam dan sistem amaran pengesan banjir.
#AAY
#banjir
#bomba
#Buddies
#CO2NCER
#kebakaran
#kebakaran hutan
#pelepasan karbon
#pengesan awal kebakaran
#pertandingan
#Petronas
#reka cipta
#sekolah
#Sentuhan Harapan All About Youth
#SM Imtiaz
#terengganu
#Yayasan Terengganu