SM Faisal gagal jadi pencelah dalam semakan kehakiman Maria Chin
Bernama
Disember 6, 2023 17:46 MYT
Disember 6, 2023 17:46 MYT
KUALA LUMPUR: Ahli perniagaan Datuk SM Faisal SM Nasimuddin gagal dalam permohonannya untuk menjadi pencelah dalam semakan kehakiman oleh bekas Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah.
Semakan kehakiman berkenaan difailkan Maria bagi mencabar keputusan Mahkamah Tinggi Syariah yang memulakan prosiding komital terhadapnya kerana mengkritik keputusan mahkamah itu yang menjatuhkan hukuman penjara ke atas bekas isteri SM Faisal, Emilia Hanafi.
Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh ketika membacakan keputusannya berkata SM Faisal bukanlah orang yang wajar untuk menjadi pencelah kerana isu utama dalam semakan kehakiman itu sama ada notis tunjuk sebab yang dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah terhadap Maria adalah berpelembagaan dan sah.
"Mahkamah mendapati kepentingan pemohon (SM Faisal) tidak diprejudiskan bagi mewajarkan beliau menjadi pencelah dalam kes ini. Oleh itu, permohonan pemohon ditolak," kata hakim itu yang turut menetapkan 12 Mac tahun depan untuk pengurusan kes.
Pada 3 Mei 2021, SM Faisal memfailkan permohonan untuk menjadi pencelah atas alasan kes itu membabitkan dirinya dan Emilia.
Pada prosiding dijalankan secara dalam talian hari ini, SM Faisal diwakili peguam Meor Hafiz Salehan dan Mohd Reza Mohd Rafie manakala Maria diwakili peguam Rosli Dahlan.
Turut serta Peguam Kanan Persekutuan Liyana Muhammad Fuad, peguam Datuk Zainul Rijal Abu Bakar dan Danial Farhan Zainul Rijal, yang bertindak bagi pihak Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) ketika itu, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri; Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (MAIWP) dan Jabatan Kehakiman Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur selaku responden pertama hingga ketiga.
Maria, 66, yang memfailkan permohonan semakan kehakiman pada 3 Mac 2021 antara lain memohon perintah certiorari bagi membatalkan tindakan dan keputusan Mahkamah Tinggi Syariah bertarikh 14 Okt 2019 yang membenarkan Perintah Kebenaran Pengkomitan dan Notis Tunjuk Sebab dikeluarkan ke atasnya.
Maria mendakwa pengeluaran perintah dan notis itu adalah bertentangan dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan serta menyalahi Aturan 52 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 dan Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan 1998).
Pada 4 Dis 2020, Maria diperintah mengemukakan tunjuk sebab mengapa beliau tidak boleh dikenakan tindakan menghina mahkamah kerana mengkritik keputusan Mahkamah Tinggi Syariah selepas permohonan beliau untuk mendapatkan lanjutan masa bagi mencabar keputusan mahkamah itu ditolak.
-- BERNAMA