Slogan reformasi kian sepi?
Ashwad Ismail
Januari 29, 2013 14:46 MYT
Januari 29, 2013 14:46 MYT
Ahli Parlimen Balik Pulau dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), Yusmadi Yusoff meminta semua pemimpin Pakatan Rakyat menghayati semula semangat reformasi yang meletakkan blok pembangkang itu menjadi kerajaan di beberapa negeri selepas pilihan raya umum 2008.
Katanya, semangat reformasi yang dilaungkan Pakatan Rakyat itu kini sudah seakan-akan sepi sehingga dilihat hanya satu retorik politik.
"Apakah reformasi ini satu kerja yang sudah selesai sehingga ia makin lama makin dilihat sekadar slogan yang agak sepi," katanya kepada Astro AWANI dalam satu pertemuan baru-baru ini.
Yusmadi berkata demikian sebagai mengulas kajian Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL) yang diumumkan baru-baru ini.
Kajian itu mendedahkan antara lain kecenderungan yang ketara di kalangan pengundi, iaitu 59 peratus di kalangan responden, untuk tidak memilih Pakatan Rakyat kerana melihat pakatan itu kucar-kacir, bercanggah pendapat dan tidak sefahaman dalam beberapa isu.
Kajian dijalankan antara 26 Disember 2012 hingga 11 Januari lalu melibatkan 1,409 pengundi.
Jelas Yusmadi, kejayaan membentuk kerajaan di empat negeri selepas Pilihan Raya Umum ke-12 seharusnya jadi medan terbaik kepada Pakatan Rakyat untuk menterjemahkan slogan reformasi.
"Kalau kita benar-benar 'reform' kepimpinan contohnya, mengapa masih ada isu-isu seperti tiadanya konsultasi sebelum membuat sesuatu keputusan dibuat?
"Kita juga masih belum menggariskan masa depan yang lebih jelas. Lima tahun yang ada sepatutnya perlu lebih fokus kepada hala tuju dan bukan terperangkap dengan hal ehwal mengenai pertentangan politik semata-mata," tegas Yusmadi.
Keadaan itu, katanya, menyukarkan untuk rakyat melihat Pakatan Rakyat sebagai alternatif kepada Barisan Nasional.
Mengambil contoh kepimpinan DAP di Pulau Pinang, Yusmadi menjelaskan pentadbiran negeri perlu mengemukakan model kepimpinan baru dan bukannya terperangkap dengan cara dan kaedah lama menguruskan negeri.
"Cara pentadbiran sekarang masih terlalu berkiblatkan Georgetown. Kepimpinan bukan sahaja mengenai FDI semata-mata tetapi memperkasa kawasan keseluruhannya," kata anak jati Balik Pulau itu.
Cabaran mendepani PRU-13
Ahli Parlimen Balik Pulau itu mengakui cabaran Pakatan Rakyat dalam PRU-13 nanti ialah untuk menterjemahkan semula slogan reformasi sehingga dirasai oleh pengundi di semua peringkat.
"Antaranya apakah tawaran Pakatan Rakyat untuk survival atau kelangsungan sesebuah keluarga mengenai pendidikan dan ekonomi. Perlu diingat, saiz masyarakat daripada golongan menengah semakin membesar. Setiap dasar perlu dirasai oleh mereka," jelasnya.
PRU-13 dijangka akan diadakan sekitar Mac ini biarpun mandat Parlimen berakhir pada penghujung April.
Ditanya apakah yang beliau sendiri lakukan untuk menghidupkan semangat reformasi itu, Yusmadi menunjukkan sebuah klip muzik video yang dikerjakan bersama penyanyi, Yasin Sulaiman iaitu Reformasi: The Anthem Project.
"Ini usaha saya untuk menghidupkan semula semangat reformasi,'' katanya.
Projek yang masih dalam pembikinan itu menjemput orang ramai untuk menyatakan hasrat dan harapan mereka untuk digerakkan dalam reformasi.