Slip keputusan SPM 2020 diberikan selepas keadaan 'selamat' - Lembaga Peperiksaan

Bernama
Jun 4, 2021 00:08 MYT
Slip keputusan peperiksaan SPM 2020 hanya akan diserahkan kepada pelajar selepas keadaan mengizinkan, kata Pengarah Peperiksaan, Lembaga Peperiksaan Kementerian Pendidikan Datuk Pkharuddin Ghazali. - BERNAMA
KUALA LUMPUR: Slip keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 hanya akan diserahkan kepada pelajar selepas keadaan mengizinkan, kata Pengarah Peperiksaan, Lembaga Peperiksaan Kementerian Pendidikan Datuk Pkharuddin Ghazali.
Menurutnya semua sekolah akan memuat turun dan mencetak slip keputusan SPM 2020 pelajar mereka sebelum jam 10 pagi 10 Jun depan menerusi Sistem Pengurusan Peperiksaan Atas Talian (SPPAT).
"Tidak seperti sebelum ini, pelajar biasanya mengambil slip itu di sekolah dengan ditemani ibu bapa masing-masing dan bergambar sambil memegang slip.
"Bagaimanapun sekatan pergerakan penuh kali ini tidak memungkinkan ia dapat dilakukan," katanya ketika menjadi tetamu dalam edisi khas Didik TV yang disiarkan secara langsung malam ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) petang tadi, pelajar boleh mendapatkan keputusan penuh disemak melalui kaedah dalam talian dan pekhidmatan sistem pesanan ringkas (SMS).
BACA: Keputusan SPM 2020 Khamis depan - Menteri Pendidikan
Bagaimanapun, katanya bagi pelajar yang tidak mempunyai capaian internet dan peranti, keputusan akan dimaklumkan oleh pihak sekolah.
"Bagi sekolah dan calon persendirian yang tidak mempunyai capaian internet yang baik, Pejabat Pendidikan Daerah akan memuat turun keputusan SPM 2020 sekolah berkenaan atau membantu calon persendirian mendapatkan keputusan peperiksaan," katanya.
Beliau berkata, untuk guru yang tidak boleh ke sekolah kerana sekatan pergerakan penuh, mereka juga boleh memuat turun keputusan SPM pelajar di mana-mana tempat mereka berada dan memaklumkan keputusan dengan menghubungi pelajar masing-masing.
Kata Pkharuddin, Lembaga Peperiksaan sudah melakukan dua sesi latihan memuat turun menggunakan keputusan SPM 2019 oleh pihak sekolah dengan yang terakhir dilakukan pada hari ini.
Sementara itu, pelajar yang ingin membuat rayuan bagi keputusan SPM 2020, tidak perlu lagi ke Jabatan Pendidikan Negeri atau Pejabat Pendidikan Daerah kerana permohonan, pembayaran dan keputusan rayuan akan dilakukan dalam talian.
Pkharuddin berkata, SPM 2020 yang berlangsung dalam norma baharu pada Februari lepas melibatkan 401,105 calon dan 48,015 petugas, peningkatan 30 peratus petugas berbanding era sebelum pandemik COVID-19.
Terdahulu Menteri Kanan (Pendidikan) Datuk Dr Radzi Jidin mengumumkan keputusan SPM 2020 akan diumumkan pada 10 Jun.
-- BERNAMA
#slip keputusan #SPM 2020 #Sijil Pelajaran Malaysia #selamat #Lembaga Peperiksaan #Kementerian Pendidikan Malaysia
;