Slim Memilih: Veteran Perang Dunia Kedua tidak pernah gagal mengundi
Abd Razak Mohd Ali
Ogos 26, 2020 16:12 MYT
Ogos 26, 2020 16:12 MYT
Mungkin ada individu yang mengambil mudah soal mengundi ketika pilihan raya, lebih-lebih lagi pada Pilihan Raya Kecil (PRK).
Golongan ini lazimnya beranggapan undi mereka tidak penting kerana tidak akan mengubah keputusan.
Bagaimanapun, bagi seorang warga emas, M. Renggaiyah, 96, mengundi itu ibarat harta, tanpanya sukar untuk sesiapa meneruskan kehidupan dengan sempurna.
"Itu (undi) kita punya harta, Malaysia punya harta. (Jika tiada proses pilihan raya) bagaimana orang berniaga mahu cari makan, sebab itu undi itu mustahak.
"Awak kerja apa pun, berapa jauh (perjalanan) mesti kita pergi (mengundi). Saya duduk sini (Pekan Trolak), tetapi undi di Kuala Lumpur. Apabila ada pengundian di sana, saya mesti ambil cuti untuk pergi sana," katanya menceritakan pengalaman silamnya ketika ditemui di kediamannya pada Rabu.
Semenjak berpindah ke Trolak sejak 60 tahun lalu, veteran Perang Dunia Kedua menentang Jepun itu mengakui tidak pernah gagal mengundi di situ.
Walaupun terpaksa berkerusi roda kerana keuzuran, warga emas itu tidak mahu ketinggalan menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.
Renggaiyah berhijrah ke Pekan Trolak selepas berkahwin dengan penduduk tempatan dan bekerja sebagai tukang gunting rambut.
Sehubungan itu, dia menasihatkan orang muda, khususnya yang tinggal di luar kawasan Slim agar balik menunaikan tanggungjawab mereka untuk mengundi pada 29 Ogos ini.
PRK DUN Slim menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Mohd Zaidi Aziz, dan dua calon bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi dan S.Shantarasekaran.