Slim Memilih: Suram 60 tahun, impian Orang Asli Sungai Teras akhirnya termakbul
Hasimi Muhamad
Ogos 25, 2020 06:05 MYT
Ogos 25, 2020 06:05 MYT
Astro AWANI baru-baru ini menyiarkan keperitan yang dilalui oleh Orang Asli di Kampung Sungai Teras, di sini, apabila terpaksa hidup tanpa bekalan elektrik sejak 60 tahun lalu.
Namun, 'detik suram' itu tidak perlu lagi dihadapi oleh kira-kira 250 penduduk kampung itu selepas impian untuk hidup dalam cahaya lampu, akhirnya termakbul.
Berbeza dengan ketika kehadiran kru Astro AWANI ke kampung itu sebelum ini, kali ini riak wajah penduduk Orang Asli, termasuk kanak-kanak, kelihatan lebih ceria.
Tiada kata-kata yang dapat diungkapkan mereka selain rasa syukur kerana bekalan elektrik sudah mula disalurkan sejak Ahad lalu.
Menurut Rosliza Mak Nan, 28 tahun, sebelum ini penduduk berdepan kesulitan menguruskan anak-anak dan kesukaran dalam menyediakan keperluan asas mereka.
"Memang rasa susah sikit, anak-anak nak pergi ke sekolah waktu pagi tiada lampu, bersiap pun dalam gelap.
"Kadang-kadang nak kemas rumah pada waktu malam pun susah. Waktu pagi, nak buat teh untuk anak-anak ke sekolah pun susah dalam gelap.
"Ini kiranya (ada bekalan elektrik) saya bersyukur dan memang amat terharu dapat duduk dalam terang (cahaya lampu)," katanya ketika ditemui Astro AWANI pada Selasa.
"Saya berterima kasih sebab selama ini kami duduk dalam gelap... susah (kehidupan dalam gelap) kami. Sekarang kami rasa gembira, terharu, dan sebak dalam hati.
"Kami bersyukur dan terima kasih atas bantuan Menteri (Pembangunan) Luar Bandar (Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad), membantu kami yang dalam kesusahan begini," kata Zuhana.
Sementara itu, Ena menambah: "Rasa gembira sebab dah terang, dulu tak macam ini, gelap... bangun pagi pun susah".
Tok Batin tak kisah rumah masih bergelap
Namun begitu, berbeza dengan rumah-rumah penduduk di situ yang kini sudah mempunyai bekalan elektrik, rumah Tok Batin Kuloh Bah Rinteh masih bergelap.
Kuloh berkata, apa yang penting baginya adalah melihat rumah penduduk kampung disinari cahaya lampu.
"Saya balik, rumah saya gelap, tetapi saya tengok anak buah (penduduk kampung sudah ada bekalan elektrik), tidak mengapalah. Kesenangan bukan untuk saya tetapi untuk anak buah saya.
"Walaupun (rumah) saya masih gelap, mungkin masa akan datang akan cerah," katanya.
Jelasnya, sebanyak 17 buah rumah tradisional di kampung itu, termasuk rumahnya, masih belum mendapat bekalan elektrik kerana memerlukan pendawaian baharu.
#60 tahun hidup bergelap
#Bekalan elektrik orang Asli
#Kebajikan orang Asli
#Kuloh Bah Rinteh
#Orang Asli hidup bergelap
#Orang Asli Sungai Teras
#Pembangunan Luar Bandar
#PRK DUN Slim