Slim Memilih: Sate harga 40 sen, 500,000 cucuk terjual pada musim raya
Hasimi Muhamad
Ogos 27, 2020 14:41 MYT
Ogos 27, 2020 14:41 MYT
Siapa sangka hanya bermula dengan tiga ekor ayam pada 16 tahun lalu, kini peniaga sate, Mohd Bakri Ahmad, mampu menjual sehingga 8,000 cucuk sate setiap hari di Trolak, dekat sini.
Lebih menarik, sate yang dijual Mohd Bakri, 65 tahun sejak 16 tahun lalu masih kekal pada harga 40 sen sehingga menjadi buah mulut penduduk setempat dan pelanggan dari luar Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim.
Jelas bapa kepada lima cahaya mata itu lagi, setiap kali musim perayaan pula, dia menerima tempahan 500,000 cucuk sate untuk rumah terbuka dan majlis sambutan Hari Raya.
"Musim raya kita anggarkan satu bulan lebih 500,000 cucuk. Kadang-kadang pelanggan yang tempah dari Kuala Lumpur, Shah Alam, Putrajaya, Pahang, Negeri Sembilan dan Ipoh.
"Bagi saya, (harga) 40 sen itu tidak jadi masalah. Saya boleh jual 8,000 hingga 9,000 (cucuk sehari), dan kalau boleh habis, saya kira keuntungan lebih RM2,000," katanya ketika ditemui Astro AWANI, baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Mohd Bakri berkata resepi yang digunakan juga diwarisi oleh keluarga, selain keenakan kuah sate menjadikan kedainya 'buruan'pelanggan.
"Sate saya rasa sama sahaja (dengan orang lain) tetapi kuah yang disediakan itu lain daripada yang lain. Ramai pelanggan kata kuah memang sedap dan mana-mana pun tak boleh dapat," ujarnya.
Bagaimanapun, Mohd Bakri juga tidak terkecuali daripada berdepan dengan impak COVID-19 selepas terpaksa menghentikan perniagaannya selama hampir empat bulan.
Sebelum ini katanya, dia berniaga di pasar malam, namun terpaksa mencari jalan lain selepas kerajaan tidak membenarkan aktiviti perniagaan di pasar malam dalam usaha mengelakkan penularan COVID-19.
"Selepas itu saya fikir kalau boleh buka kedai depan rumah... Mula-mula saya berniaga depan (rumah) dan dalam masa dua tiga hari selepas itu, ada orang beritahu tidak boleh berniaga di kawasan itu.
"Kemudian kita fikir untuk bangkit semula, kita buka kedai di sini (tapak baharu) dan kita buat permohonan dengan pejabat daerah untuk membuka kedai di sini," katanya sambil menambah tapak perniagaan baharu itu dibuka sejak dua bulan lepas.
Selain sate dengan harga 40 sen secucuk, kedai tersebut turut menawarkan menu seperti nasi goreng chicken chop, nasi ayam goreng serta burger.
Kerajaan membenarkan semula operasi pasar terbuka, pasar pagi, pasar malam dan bazaria di seluruh negara pada 15 Jun lalu selepas aktiviti tersebut dihentikan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), 18 Mac lalu.
#COVID-19
#Industri Kecil dan Sederhana
#Pasar malam beroperasi
#Peniaga sate Trolak
#PKP
#PRK DUN Slim
#Sate 40 sen
#Sate 40 sen viral