Slim Memilih: Polis terima 17 permohonan permit ceramah, satu ditolak

Hasimi Muhamad
Ogos 17, 2020 18:05 MYT
Setakat ini pihak polis tidak menerima sebarang aduan berkaitan salah laku dan insiden yang tidak diingini.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) sehingga kini meluluskan 16 daripada 17 permohonan permit ceramah bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim.
Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, satu permohonan tidak diluluskan itu disebabkan lokasi yang tidak sesuai dengan untuk aktiviti berkempen.
Katanya, daripada jumlah permohonan, 14 diterima daripada Barisan Nasional (BN), sementara tiga lagi dikemukakan oleh calon Bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi.
“Pihak-pihak yang berkempen dinasihatkan mengikut prosedur dan undang-undang yang telah ditetapkan terutamanya dari segi permit tempat dan masa yang ditetapkan.
“Selain itu, pihak polis menasihatkan kepada pihak-pihak yang berkempen agar tidak menimbulkan sebarang provokasi yang boleh menganggu gugat ketenteraman awam sepanjang tempoh berkempen N58 DUN Slim berjalan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Jelas beliau, setakat ini pihak polis tidak menerima sebarang aduan berkaitan salah laku dan insiden yang tidak diingini.
PRK DUN Slim menyaksikan saingan tiga penjuru antara BN dan dua calon Bebas.
BN diwakili Mohd Zaidi Aziz, sementara calon Bebas, Amir Khusyairi menggunakan logo 'pokok' dan seorang lagi calon Bebas, S. Santharasekaran yang menggunakan logo 'buku'.
#Dewan Undangan Negeri #DUN #PDRM #permit ceramah #polis #politik #PRK DUN Slim #Slim Memilih
;