Slim Memilih: Penduduk Orang Asli harap jambatan 'usang' dibaik pulih

Hasimi Muhamad
Ogos 19, 2020 11:00 MYT
Tinjauan Astro AWANI baru-baru ini mendapati sekurang-kurangnya lima tiang utama jambatan yang menyeberangi Sungai Bernam itu telah patah - Gambar Astro AWANI
Kira-kira 200 penduduk orang Asli di Kampung Changkat Ramu dan Buloh Seruas berdepan risiko selepas jambatan yang menghubungkan kedua-dua kampung tersebut tidak lagi selamat digunakan.
Tinjauan Astro AWANI baru-baru ini mendapati sekurang-kurangnya lima tiang utama jambatan yang menyeberangi Sungai Bernam itu telah patah.
Malah, jambatan itu turut ditutup untuk laluan kenderaan seperti kereta, dan hanya boleh digunakan oleh penunggang motosikal atau pejalan kaki sahaja.
Keadaan tersebut sekali gus dibimbangi mengundang ancaman nyawa kerana penduduk masih menggunakan jambatan itu dalam menjalani rutin harian, selain arus air sungai yang deras setiap kali musim hujan.
BACA: Slim Memilih: 60 tahun hidup bergelap, Orang Asli Kampung Sungai Teras harap sinar
BACA: Slim Memilih: Lapan bulan orang Asli Kampung Changkat Ramu minum air berkeladak, kotor
Wakil penduduk di dua kampung tersebut, Yop Abas, 48, berkata jambatan 'usang' itu telah digunakan oleh penduduk sejak tahun 1980-an lagi.
"Risiko amat bahaya kepada budak-budak sekolah... masa balik (sekolah) memang masing siang tetapi mereka pergi sekolah pukul 5 pagi (masih gelap).
"Jadi, amat bahaya jambatan ini dan risikonya memang tinggi.
"Lagi satu kalau perempuan nak bersalin atau sakit, kita takut itulah sebab jalan ini memang dekat (ke Pekan Slim). Jadi, kalau kita nak ikut jambatan yang baharu (dibina oleh pihak) swasta, memang jauh. (Keadaan) Kita amat sulit bila waktu malam," katanya ketika ditemui, di sini, baru-baru ini.
Susulan itu katanya, penduduk setempat terpaksa menggunakan sebuah lagi jambatan yang terletak kira-kira satu kilometer dari kampung tersebut.
Namun, katanya jambatan yang dibina oleh pihak swasta itu dikenakan bayaran setiap kali menggunakan kenderaan ringan atau membawa hasil pertanian.
"Memang ada jambatan di belah sana lebih kurang satu kilometer dari sini tetapi jambatan tersebut kita perlu membayar 'tol' kalau lalu dengan kenderaan berat dan kadang-kadang kami angkut buah dan kelapa sawit, (juga) kena bayar 'tol'," jelasnya.
Abas menambah aduan telah dibuat berhubung perkara tersebut tetapi sehingga kini masih belum ada sebarang tindakan.
Mengulas mengenai perkara itu, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, pihaknya sedang dalam perbincangan untuk menyelesaikan masalah tersebut.
Katanya, inisiatif ketika ini adalah untuk mencapai kata sepakat antara negeri Selangor dan Perak bagi membolehkan penduduk menggunakan jambatan swasta tersebut.
"Di sini ada sedikit masalah kerana di kawasan jambatan berkenaan, ia persempadanan antara negeri Perak dan Selangor.
"Jadi, pihak kami sedang mengkaji dan meneliti jalan penyelesaian bagi kedua-dua belah pihak di antara negeri Selangor dan juga Perak.
"Buat masa sekarang jambatan itu masih boleh digunakan dan selamat (jambatan menyeberangi Sungai Bernam). Cuma Insya-Allah Kementerian Pembangunan Luar Bandar akan mencari (jalan) dan sentiasa prihatin untuk memberi keselesaan kepada rakyat termasuk masyarakat orang Asli.
"Kita sedang dalam peringkat penyelesaian masalah antara negeri Selangor dan Perak," katanya.
Terdahulu, Astro AWANI menyiarkan laporan berhubung keperitan hidup yang terpaksa dilalui oleh dua perkampungan orang Asli di Sungai Teras dan Changkat Ramu yang berdepan masalah bekalan elektrik dan air bersih.
Sehubungan itu, Zolkafly memberi jaminan bahawa penduduk di dua kampung tersebut akan menikmati kemudahan asas itu selewat-lewatnya pada 28 Ogos ini.
#air #Barisan Nasional #Bebas #Buloh Seruas #Changkat Ramu #Isu air bersih orang Asli #Isu elektrik #jambatan #Kempen PRK DUN Slim #kereta #Orang Asli #PRK DUN Slim #rakyat #sekolah #Slim Memilih #Sungai Teras
;