Slim Memilih: Lapan bulan orang Asli Kampung Changkat Ramu minum air berkeladak, kotor
Hasimi Muhamad
Ogos 17, 2020 12:47 MYT
Ogos 17, 2020 12:47 MYT
Kira-kira 120 penduduk Kampung Orang Asli Changkat Ramu, di sini terpaksa minum air berkeladak dan kotor susulan masalah bekalan air yang dihadapi mereka sejak lapan bulan lalu.
Lebih memeritkan, kebanyakan mereka terpaksa mengangkut air sejauh 100 meter dari telaga yang digali sendiri oleh penduduk, untuk kegunaan harian, termasuk memasak.
Dengan khudrat wanita, suri rumah, Yam Engsai, 55 tahun, berkata setiap hari dia perlu mengambil sekurang-kurangnya 10 baldi air dari telaga tersebut, dengan bantuan suami.
Mengakui bahawa telaga tersebut satu-satunya punca air, Yam berkata air dari telaga tersebut juga berbau walaupun sudah dimasak.
"Memang susah kalau sehari 10 kali nak angkat air itu, memang jauh lah (dari rumah). Tengok tempat kita pergi tadi... nak angkat, nak naik bukit lagi (dan) nak bawa balik ke rumah.
"Lagi nak masak, nak cuci (pakaian) memang susah, tetapi terpaksa buat, sebab kita nak masak, nak mencuci kain, budak-budak nak sekolah lagi, (dan) mandi," katanya ketika ditemui di sini, pada Sabtu.
Yop Abas, 48 tahun, pula berkata, selain air telaga, penduduk juga terpaksa mendapatkan bekalan air dari Sungai Bernam yang terletak kira-kira 500 meter dari rumah.
Jelasnya, situasi tersebut dibimbangi memberi risiko keselamatan, selain menjejaskan kesihatan penduduk setempat.
"Kami di sini memang payah, masalah air memang menyulitkan kami. Kadang-kadang budak sekolah pukul 5 pagi sudah bangun, selepas itu nak ambil air memang payah dan sangat berisiko bagi kami.
"(Masalah) Air ini memang dari dulu sampai sekarang kami tanggung. Walaupun, kita nampak kemajuan di luar tetapi memang kami di sini macam itu juga (tiada perubahan). Permohonan kami sudah banyak kali (dibuat)," ujarnya lagi.
Sementara itu, Tok Batin Latah Merah, 62 tahun, berkata masalah bekalan air di kampung tersebut berlaku akibat kerosakan pam penyedut sumber air yang tidak dibaiki, selain masalah tekanan.
Katanya, pihaknya menaruh harapan besar agar Lembaga Air Perak (LAP) boleh menyalurkan bekalan air bersih ke kampung tersebut.
"Kami nak air daripada LAP. Sebab, air graviti saya tak berminat, sebab banyak masalah, setiap hari rosak.
"Jadi, kalau air LAP senang, kami boleh bayar bil (setiap bulan), orang kampung mampu bayar bil... bil apa sahaja mereka mampu bayar. Kita tak mahu susah-susah dah, (dan) kami tak mahu apa-apa, cuma kami nak (air) LAP sahaja," katanya.
Jangan pinggirkan kemajuan orang Asli
Mengulas mengenai masalah tersebut, Aktivis dan Pengasas Koperasi Pembangunan Orang Asli, Ramesh Arumugam Chettiar berkata, penghantaran air bersih daripada LAP berdepan kesukaran berikutan masalah jambatan ke kampung tersebut.
"Lori-lori tangki yang membawa air LAP tidak dibenarkan menggunakan jambatan besi (yang menghubungkan ke kampung Changkat Ramu).
"Ini kerana pemilik (jambatan) adalah syarikat swasta (kena bayar jika mahu melaluinya). Jadi, tidak ada cara untuk kerajaan negeri menghantar bekalan air," katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan dan pihak berkaitan agar menambah baik kemudahan asas masyarakat pribumi itu.
Tegasnya, keperluan asas Orang Asli di negara ini tidak boleh dipinggirkan daripada menerima pembangunan negara.
"Saya syorkan kepada kerajaan pusat untuk hentikan air graviti atau air bukit sebab hampir kesemua masyarakat Orang Asli sangat-sangat memerlukan air bersih dari bukit, mereka (mengalami) masalah bekalan air.
"Kalau masyarakat Orang Asli yang tinggal jauh di pedalaman, yang memerlukan perjalanan 24 jam untuk sampai, saya boleh terima.
"Tetapi, kampung di sini tidak sampai satu jam dari Kuala Lumpur, dan kita ada beribu masyarakat di sini yang hidup dalam kegelapan. Tiada sebarang asas (alasan) supaya saya boleh terima," katanya.
#air bersih
#bekalan air
#hak
#Hak orang Asli
#jambatan
#kemudahan asas
#Lembaga Air Perak
#Lembagai Air Perak
#Lori
#Orang Asli
#Orang Asli Kampung Changkat Ramu
#Pakatan Harapan
#pedalaman
#Perikatan Nasional
#PRK DUN Slim
#Slim Memilih
#Sungai Bernam
#tangki
#Telaga