Slim Memilih: Keunikan kompang Trolak Utara diwarisi generasi ketiga

Hasimi Muhamad
Ogos 26, 2020 03:59 MYT
Sebagai pelengkap bunyi, Mazselan (tengah) berkata kompang 'jidor' turut digunakan dalam persembahan kumpulan tersebut, selain menggunakan kompang yang ditempah khas daripada Parit Madirono, Johor. - Gambar Astro AWANI
Sebut sahaja kompang, pastinya ia dikaitkan dengan seni tradisional yang menyeri dan memeriahkan majlis keramaian terutama majlis perkahwinan.
Namun, seni warisan nenek moyang itu tidak boleh hanya dianggap sekadar 'penyeri', sebaliknya khazanah negara itu perlu dikekalkan agar ia tidak ditelan zaman.
Pewaris Kompang Sinar 12 Trolak Utara, Mazeslan Brahim antara individu yang komited mengangkat martabat kesenian kompang sebagai budaya negara.
Mula ditubuhkan sejak tahun 80-an, kumpulan Kompang Sinar 12 kini diwarisi generasi ketiga dengan penyertaan kanak-kanak berusia lapan hingga 12 tahun.
"Sebenarnya ia kesinambungan daripada kumpulan Sinar Kompang 12 generasi pertama dan kedua.
"Saya tak nak seni ini mati, jadi saya tubuhkan dengan kawan-kawan dan cikgu-cikgu yang lain... generasi ketiga yang merupakan cucu-cucu peneroka Felda Trolak Utara.
"Saya tahu Trolak Utara ada pasukan kompang tetapi ramai dah dewasa, tua dan kerja luar.
"Daripada situ, saya tekad kumpul adik-adik sekolah rendah dan kita ajar mereka daripada mula asas pukulan sehinggalah mereka boleh pergi main di majlis kenduri," katanya ketika ditemui Astro AWANI, baru-baru ini.
Jelas Mazeslan yang juga tenaga pengajar, bunyi yang dihasilkan daripada pukulan kompang masih menggunakan empat teknik asas untuk menghasilkan irama yang cantik.
Antara gabungan pukulan itu adalah ‘melingkah’, ‘menyelang’, ‘menganak’ dan ‘menalu’.
Sebagai pelengkap bunyi, jelas beliau kompang 'jidor' turut digunakan dalam persembahan kumpulan tersebut, selain menggunakan kompang yang ditempah khas daripada Parit Madirono, Johor.
"Cabaran mengajar adik-adik kecil ini memang makan masa sikit sebab budak-budak kecil tetapi yang penting kami menanam minat pukulan supaya mereka minta pukul kompang.
"Tidak kisah tak betul, memang makan masa nak ajar, tetapi yang penting kami tanamkan minat main kompang.
"Lama-lama bila mereka meningkat dewasa, mereka sendiri dapat mengikut rentak pukulan kompang," tambahnya.
Hanya mahu mencuba
Bermula dengan mahu mencuba, Ahmad Arif Hakimi Abdul Halil, 12 tahun dan Nurul Ain Nafeesa Mohd Faizal Anemee, 12, kini jatuh cinta dengan seni budaya itu.
Walaupun berdepan cabaran untuk mempelajari tenik seni warisan itu, namun mereka tekad belajar sehingga berjaya menguasai pukulan kompang.
"Mula-mula tu rasa macam nak cuba sebab ramai yang main macam 'syok' pula. Jadi, saya pun bertekad nak cuba belajar sampai tengok ramai main di kenduri, dan seronoklah.
"Saya harap seni kompang ini dapat diteruskan sampai ke tempat yang lain seperti ke negeri-negeri lain, dan saya harap ramai orang akan cuba main kompang," ujarnya.
Nurul Ain pula menambah: "Susah nak belajar main kompang sebab kena cuba banyak kali dan susah sebab tangan nanti sakit.
"Mula-mula tengok pelajar universiti main kompang di dewan, jadi selepas itu rasa nak cuba dan akhirnya minat nak main kompang," kata Ain.
Kumpulan Kompang Sinar 12 Generasi Ketiga Trolak Utara sering menerima undangan persembahan termasuk dari luar Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim.
Malah, kumpulan tersebut turut dinobatkan juara dalam pertandingan kompang anjuran Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), baru-baru ini.
#Felda #Keseniaan #Khazanah #Kompang #Kompang Parit Madirono Johor #Kompang warisan negara #Kumpulan Kompang Sinar 12 Generasi Ketiga Trolak Utara #PRK DUN Slim #Trolak Utara