Slim Memilih: Bahang kempen serikan majlis pasangan pengantin

Hasimi Muhamad
Ogos 17, 2020 14:33 MYT
Pasangan pengantin, Nurul Haziqah dan Muhammad Amirul begitu teruja menerima kunjungan Amir Khusyairi - Gambar Astro AWANI
Bahang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim menjadi kenangan manis buat ‘raja sehari’ di Felda Besout 1 apabila ia turut dikunjungi oleh calon Bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, dekat sini, hari ini.
Pasangan pengantin berkenaan, Nurul Haziqah Mohd Asri, 21, dan Muhammad Amirul Aizar, 21 begitu teruja menerima kunjungan calon PRK DUN Slim berkenaan.
Jelas Nurul Haziqah, kedatangan Amir Khusyairi menjadi kenangan terindah buatnya dan suami.
“Memang gembira sangat-sangat sebab tak sangka calon datang hadir hari kenduri.
“Saya tidak sangka sangat dan ia memang teruja,” katanya ketika ditemui, di sini hari ini.
Mengulas mengenai prosedur operasi standard (SOP) penganjuran perkahwinan, anak kedua daripada empat beradik itu berkata, keluarganya sudah membuat persiapan rapi bagi memastikan perkara tersebut dipatuhi.
“Persediaan perkahwinan ini tidak menghalang apa-apa pada musim PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) kerana semuanya sudah disediakan dengan lancar.
“Tiada apa-apa yang menghalang kerana Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) pun dah umum boleh buat kenduri kahwin tetapi perlu ikut SOP.
“Kami pun sediakan meja, buat saringan suhu dan sebagainya,” katanya.
Sementara itu, bapa pengantin perempuan, Asri Hashim, 50, berkata SOP yang ditetapkan juga tidak menyukarkan dan pihaknya mampu mengawal kehadiran tetamu.
“SOP memang kita ikut dari mula sampai sekarang kita ikut.
“Ada saringan suhu, (aplikasi) MySejahtera dan garisan juga disediakan. Penjarakan sosial (juga diamalkan),” jelasnya.
Sementara itu, Amir Khusyairi berkata, beliau berasa bertuah kerana dapat bertemu dengan pengundi-pengundi di DUN Slim pada majlis perkahwinan tersebut.
“Bukan senang untuk kita dapat berkumpul ramai.
"Dekat sini kita dapat berkumpul, apa sahaja isu mereka boleh sampaikan kepada kita,” katanya.
Beliau dalam pada itu turut berpuas hati dengan pematuhan SOP yang dilakukan oleh tuan rumah.
“Hakikatnya saya dapat lihat tuan rumah menyediakan kod pengimbas, dan menyediakan buku untuk rekod kalau yang mana tidak dapat menggunakan kod pengimbas.
“Juga semakan suhu badan, dan ini patut puji tuan rumah kerana mengekalkan SOP sebegini,” katanya.
PRK DUN Slim menyaksikan pertembungan tiga penjuru membabitkan calon Barisan Nasional (BN) dan dua calon Bebas.
BN diwakili oleh Mohd Zaidi Aziz, sementara seorang lagi calon Bebas ialah Shantarasekaran Subramaniam.
#Amir Khusyairi Mohamad Tanusi #Barisan Nasional #Felda #Mohd Zaidi Aziz #Muhyiddin Yassin #pilihan raya kecil #PRK DUN Slim #Shantarasekaran Subramaniam #SOP
;