Slim Memilih: Akhirnya, tidak perlu minum air berkeladak

Hasimi Muhamad
Ogos 28, 2020 17:14 MYT
Terdahulu, kira-kira 120 penduduk Kampung Orang Asli Changkat Ramu, terpaksa minum air kotor dan berkeladak susulan masalah bekalan air yang dihadapi mereka. - Foto Astro AWANI
Keperitan hidup orang Asli Kampung Changkat Ramu di sini sejak lapan bulan lalu berakhir selepas mereka tidak lagi perlu menggunakan air kotor dan berkeladak.
Astro AWANI sebelum ini menyiarkan kisah penduduk di kampung itu yang terpaksa bergantung kepada air telaga yang digali sendiri, untuk kegunaan harian.
Tinjauan Astro AWANI pada Jumaat mendapati penduduk kampung itu sudah mula menerima bekalan air bersih sejak Selalu lalu.
Penduduk, Rohana Dollah, 49 tahun, berkata dia bersyukur kerana rintihan orang Asli di kampung itu didengari oleh pihak berkaitan.
“Rasa gembira sebab senang nak masak, tidak macam dulu terpaksa depan rumah cuci pinggan.
“Sampai pukul 6 petang terpaksa pergi mandi (di telaga) memikirkan sudah nak petang (malam),” katanya ketika ditemui, di sini hari ini.
Sementara, Nurjuliana Abdullah, 35 tahun, berkata keluarganya sebelum ini terpaksa ‘mencatu’ bekalan air untuk kegunaan harian.
Namun, dia kini boleh menarik nafas lega, selain dapat berjimat kerana tidak lagi perlu membeli bekalan air bersih.
“Selalu macam saya bangun pukul 7 pagi, suami pergi ke Kg Melayu (sebelah Changkat Ramu) untuk beli air dalam dua atau tiga gelen.
“Selepas itu bawa balik rumah dan akan guna air itu untuk masak, mandikan bayi dan selebihnya kami mandi di telaga atau sungai,” ujarnya.
Tok Batin, Latah Merah, 62 tahun, pula berharap agar masalah tekanan air graviti di kampung itu dapat diatasi sepenuhnya pada masa akan datang.
Setakat ini katanya, pihaknya berterima kasih kerana bekalan air graviti disalurkan buat sementara waktu.
“Saya ingat tak lama lagi pam (air) ini pada musim kemarau akan rosak juga.
“Tetapi rasa tidak susah hati sangat sebab Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad (Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar) sudah berjanji dengan orang kampung, beliau akan menyelesaikan masalah (air) di Changkat Ramu dalam tahun depan untuk (mendapatkan) air Lembaga Air Perak (LAP),” jelasnya.
Terdahulu, kira-kira 120 penduduk Kampung Orang Asli Changkat Ramu, terpaksa minum air kotor dan berkeladak susulan masalah bekalan air yang dihadapi mereka.
#air berkeladak #air kotor #kesihatan #Orang Asli Kampung Changkat Ramu #pilihan raya #rumah #Slim Memilih
;