Slim Memilih: 12 pusat pengundian ditutup tepat 5.30 petang
Hasimi Muhamad
Ogos 29, 2020 17:30 MYT
Ogos 29, 2020 17:30 MYT
Kesemua 12 pusat pengundian melibatkan 54 saluran bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim ditutup tepat pukul 5.30 petang setelah dibuka jam 8 pagi tadi.
Sejurus pusat pengundian ditutup, kesemua peti undi daripada 54 saluran itu dibawa ke pusat penjumlahan undi rasmi di Dewan Sri Tanjong, Majlis Daerah Tanjung Malim, di sini.
Terdahulu, peti undi awal tiba di pusat penjumlahan undi terbabit pada pukul 5.07 petang.
SPR menjangkakan keputusan PRK DUN Slim akan diumum selewat-lewatnya pukul 10 malam.
Pada 25 Ogos lalu, sebanyak 96.25 peratus atau 257 daripada 267 pengundi awal polis telah menjalankan tanggungjawab mereka.
Sementara, seramai 22,749 pengundi biasa pula mengundi pada hari ini.
PRK DUN Slim diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib, 59, pada 15 Julai lepas.
Allahyarham pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) menang dengan majoriti 2,183 undi menewaskan calon Bersatu yang bertanding atas tiket PKR, Mohd Amran Ibrahim dan calon PAS, Muhammad Zulfadli Zainal.
PRK DUN Slim menyaksikan saingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Mohd Zaidi Aziz, dan dua calon Bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi dan S.Shantarasekaran.
#Barisan Nasional
#pilihan raya
#pilihan raya kecil
#pilihan raya umum
#PKR
#PRU14
#Slim Memilih
#Suruhanjaya Pilihan Raya