SL1M anjur temu duga terbuka paling besar!

Israr Khalid
Januari 16, 2018 18:17 MYT
Norashikin (tengah) bersama barisan selebriti yang menjadi duta inspirasi SL1M. - Foto Astro AWANI/Israr Khalid
Perhatian anak muda!
Kepada sesiapa yang sedang mencari pekerjaan, Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) akan menganjurkan temu duga terbuka di Taman Ekspo Agro Malaysia (MAEPS), Serdang pada 24 dan 25 Februari ini.
Lebih daripada 15,000 peluang pekerjaan dan latihan ditawarkan kepada semua tanpa mengira latar belakang malah peringkat kelulusan dalam acara ‘mega’ selama dua hari itu nanti.
“Sebelum ini syarat minimum mengikuti program SL1M adalah sekurang-kurangnya ijazah sarjana muda.
“Tetapi untuk program ini kita membuka peluang pekerjaan sama ada kerja tetap, kerja kontrak mahupun separuh masa kepada serendah-rendah kelulusan darjah enam,” maklum Ketua Sekretariat SL1M, Norashikin Ismail.
Program hasil usahasama Unit Perancang Ekonomi (EPU) dengan pelbagai agensi kerajaan dan swasta itu mengadakan temu duga secara ‘on the spot’ oleh lebih daripada 200 syarikat yang menyertai SL1M.
Bakal dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, pelbagai program turut sama diadakan antaranya ‘career talk’, klinik resume, sesi motivasi khas menampilkan Imam Muda Asyraf dan Sukur Ibrahim, juga perkongsian bersama selebriti antaranya Faizal Tahir, Wany Hasrita, kumpulan lawak Bocey dan Zero Sufian Suhaimi dan ramai lagi.
“Peranan kami sebagai tokoh masyarakat adalah untuk berkongsi kisah kepayahan kami sebelum apa yang kalian lihat diri kami pada hari ini, untuk memberi semangat kepada semua anak muda.
“Baru-baru ini saya terbaca bahawa besar kemungkinan tahun ini ramai akan kehilangan kerja, jadi harap-harapnya SL1M ini hadir sebagai solusi,” kata Faizal Tahir.
“Kalau sebelum ini merungut susah nak cari kerja, sekarang kami datang ke tempat anda dan beri peluang untuk anda dapatkan kerja,” tambah Aetu dari kumpulan Zero. Faizal dan Zero merupakan duta SL1M sejak dua tahun yang lepas.
Selain itu, turut diadakan pelbagai aktiviti untuk seisi keluarga seperti tawaran kupon makanan dan minuman percuma kepada pengunjung terawal, pameran dan jualan kereta, penampilan maskot Didi & Friends serta Omar & Hana serta banyak lagi.
Malah, setiap pengunjung berpeluang memenangi hadiah utama cabutan bertuah iaitu sebuah Perodua MyVi 1.3 model terbaharu, serta hadiah-hadiah lain seperti komputer riba, telefon pintar, gajet dan pelbagai barangan elektrik.
Menjangkakan lebih 30,000 pengunjung hadir pada acara dua hari itu, Norashikin menegaskan ia tidak wajar dilepaskan khususnya oleh golongan anak muda memandangkan ia peluang terbentang luas untuk mereka untuk mengubah hidup.
“Bulan Jun tahun lepas kita dijemput Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk membentangkan program ini kepada negara-negara maju dan membangun, dan sekali lagi dipanggil mereka di Korea Selatan bulan lepas.
“Maknanya SL1M diiktiraf di peringkat antarabangsa, dan amat sayang sekiranya rakyat Malaysia sendiri mensia-siakan peluang daripada inisiatif ini,” tegasnya.
Menerusi SL1M, peserta yang layak akan mengikuti latihan kemahiran insaniah dan industri selama enam hingga 12 bulan bersama syarikat berkaitan kelulusan masing-masing serta mendapat elaun bulanan minimum RM1,500.
Ia bertujuan meningkatkan keyakinan diri dan kebolehpasaran para graduan untuk berdepan realiti dunia masa kini, mensasarkan terutamanya graduan daripada golongan kurang bernasib baik.
“Kalau seseorang graduan itu tidak diambil bekerja selepas menjalani latihan bersama sesebuah syarikat itu, dia boleh ke syarikat lain bawah program SL1M.
“Kami akan bantu graduan itu sehingga dia dapat kerja,” jelas Norashikin.
Sejak diperkenalkan pada Jun 2011, SL1M telah membantu 142,520 peserta melalui penglibatan secara langsung mahupun tidak langsung (setakat November 2017), dan Norshikin berharap dapat membantu lebih ramai lagi.
Selepas di MAEPS, SL1M akan menjelajah ke setiap zon iaitu Kedah, Kelantan, Johor, Sarawak, Sabah dan Negeri Sembilan sepanjang tahun ini.
Selagi peluang masih terbuka, ayuh anak muda!
#anak muda #Maeps #Norashikin Ismail #peluang kerja #Skim Latihan 1Malaysia #SL1M #temu duga SL1M
;